Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Banjir makin buruk di Kuantan

Utusan Malaysia Online - Pahang



Sebahagian kanak-kanak mangsa banjir melihat poster penjagaan kesihatan ketika banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Dewan Orang Ramai Balok, Kuantan, semalam. - UTUSAN/Mahathir Ali


KUANTAN 7 Jan. - Keadaan banjir di daerah ini semakin buruk apabila 32 mangsa lagi dipindahkan menjadikan jumlah keseluruhan yang ditempatkan di pusat pemindahan ialah seramai 244 orang.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, jumlah itu meningkat berikutan pertambahan penduduk dari dua kampung iaitu Kampung Nyamuk dan Kampung Chendor Tengah di sini.
Menurut beliau, ia menyebabkan jumlah keseluruhan kampung yang dilanda banjir menjadi sebanyak enam buah.
"Berikutan itu, sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di Sekolah Agama Rakyat Balok Pantai dekat sini yang menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan sebanyak empat buah," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, seramai 212 mangsa banjir dari empat kampung di daerah ini dipindahkan ke tiga pusat pemindahan yang dibuka kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut jurucakap itu, daripada jumlah mangsa yang dipindahkan, terdapat 11 bayi yang terdiri daripada enam lelaki dan lima perempuan.
"Mangsa lelaki dewasa ialah seramai 55 orang, perempuan (64), kanak-kanak lelaki (64) dan kanak-kanak perempuan (60)," ujarnya.
Berikutan keadaan itu juga, tambahnya, laluan di Kilometer 18 Kuantan-Kemaman berhampiran Aspa Cottage masih ditutup dan hanya dibuka untuk kenderaan berat.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada sekolah di daerah ini diarahkan tutup memandangkan keadaan banjir di negeri ini belum serius.
Dalam kejadian semalam di Sekolah Kebangsaan (SK) Pelabuhan Kuantan di Balok Makmur dekat sini, kata beliau, pelajar terbabit hanya diarah pulang awal tetapi kembali ke sekolah semula seperti biasa hari ini selepas banjir surut.
''Bagaimanapun kita tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikuti perkembangan semasa berhubung banjir," katanya.
Beliau menjelaskan, sebarang perkembangan terbaru berhubung penutupan sekolah akibat banjir bergantung kepada arahan pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment