Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Banjir di Kelantan kembali buruk

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri



Sebahagian penduduk Taman Sri Mulong terpaksa berpindah di SMK Mulong setelah rumah mereka dinaiki air ekoran banjir di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 6 Jan. – Keadaan banjir di negeri ini kembali buruk apabila bilangan sekolah yang ditutup bertambah kepada 16 buah membabitkan 4,913 murid.
Laman web e-Banjir kerajaan negeri pula menyatakan seramai 96 mangsa daripada 49 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan iaitu masing-masing dua di Tanah Merah dan Pasir Mas serta tiga di Kota Bharu.
Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pula memberitahu, dua jalan ditutup kepada kenderaan ringan di Tanah Merah iaitu Kilometer 9 Simpang Chekok-Gual Ipoh dan Kilometer 24 dekat Kampung Jerus selepas dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Hussain Awang berkata, kebanyakan pelajar diarahkan pulang ke rumah masing-masing semasa sesi persekolahan hendak dimulakan pagi ini kerana air melimpah sehingga ke dalam kawasan sekolah dan bilik darjah.
“Sesetengah sekolah dibuka tetapi murid-murid diarahkan pulang dan ada juga sekolah yang masih belum dibuka sebelum sesi persekolahan pagi tadi.
“Begitu juga dengan tiga sekolah di Tumpat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, SK Bendang Pak Yong, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda yang masih belum memulakan sesi persekolahan sejak awal tahun kerana kawasan sekolah masih digenangi air,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengenai murid-murid yang terlibat dengan banjir terutama di kawasan yang tidak lagi memulakan sesi persekolahan tahun ini, Hussain berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada pihak sekolah untuk mengadakan kelas gantian.
“Pengetua dan Guru Besar juga dimaklumkan mengenai penggantian tersebut mengikut kesesuaian hari terutama pada Sabtu supaya mereka yang terlibat tidak tercicir mata pelajaran.
“Kebetulan esok dan lusa cuti persekolahan hujung minggu, sukar kita menjangkakan sama ada sekolah boleh dibuka atau sebaliknya pada hari Ahad ini kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca. Jika hujan masih berterusan dan banjir semakin buruk, lebih banyak sekolah akan ditutup,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Abu Bakar Yusof ketika dihubungi memaklumkan, hujan lebat berterusan menyebabkan air bertakung sehingga memasuki rumah penduduk dan sekolah terbabit.
Beliau berkata, secara keseluruhan, paras air di sungai-sungai utama meningkat dan berada di paras amaran, sementara Sungai Golok pula kembali melepasi paras bahaya sembilan meter iaitu di kedudukan 9.58 meter.
“Semua pihak sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir dan orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan terutama untuk ditempatkan di pusat-pusat perpindahan sementara,” katanya.
Dalam pada itu, 30 penduduk sekitar Taman Perumahan Sri Mulong dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong di sini selepas rumah mereka dinaiki air sehingga paras betis.
Seorang mangsa, Wan Hanisah Wan Muhamad, 42, berkata, kejadian berlaku merupakan yang terburuk sepanjang 14 tahun tinggal di kawasan perumahan itu.
“Sebelum ini setiap kali hujan lebat, kawasan perumahan di sini memang dinaiki air tetapi penduduk tidak perlu berpindah kerana paras air tidak berbahaya.
“Tetapi hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan paras air meningkat mendadak memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya.
Dia mendakwa, banjir itu berlaku disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna di kawasan perumahan berkenaan.
Seorang lagi penduduk, Mazuraidah Ismail, 31, berkata, dia dan keluarga menyedari air mula memasuki rumah mereka kira-kira pukul 4 pagi lagi sehingga menyebabkan mereka terkejut kerana keadaan tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Keadaan semakin buruk apabila hujan tidak henti-henti menyebabkan paras air semakin meningkat. Saya dan penduduk lain telah dinasihatkan supaya berpindah ke sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment