Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Bangunan pengering padi terbakar

Utusan Malaysia Online - Utara



Anggota bomba berusaha memadam kebakaran sebuah bangunan kilang pengering di Sungai Limau Dalam,Yan, kelmarin. – Gambar Ehsan Rakan Media


YAN 6 Jan. – Sebuah bangunan lama yang menempatkan mesin pengering padi di kilang beras di Sungai Limau Dalam di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi ini.
Saksi kejadian, Tom Lah, 58 yang tinggal kira-kira 10 meter dari kilang beras itu berkata, dia terjaga kira-kira pukul 4.30 pagi tadi setelah terdengar bunyi siren bomba.
Tom berkata, dia sedang nyenyak tidur sewaktu api mula marak membakar bangunan lama kilang tersebut.
“Ketika saya dengar bunyi siren bomba, saya dan anak perempuan, Azlina Kassim Chin, 40, terus keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.
“Mula-mula kami hanya nampak percikan api sahaja tapi semakin lama api itu semakin marak dan kawasan sekeliling kilang ini mula dipenuhi penduduk kampung untuk melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dia amat bimbang api itu merebak kerana jarak rumahnya dan kilang tersebut terlalu hampir.
“Saya pernah mengalami pengalaman yang cemas seperti ini apabila bengkel kereta yang terletak berhampiran rumah terbakar.
“Saya bimbang jika api merebak ke rumah dan berikutan itu saya dan anak hanya keluar sehelai sepinggang dari rumah untuk menyelamatkan diri,” ujarnya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 4.12 pagi.
“Dua buah jentera bomba dari balai Yan dan Guar Chempedak dikerahkan ke tempat kejadian dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 15 minit kemudian.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment