Search This Blog

Tuesday, January 4, 2011

Bah besar di Australia, Filipina



KAWASAN perumahan Depot Hill di Rockhampton, timur Queensland merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas oleh banjir di Australia. - AFP


SYDNEY 3 Jan. - Banjir yang kian memburuk di Australia meragut dua lagi nyawa hari ini apabila seorang lelaki lemas selepas keretanya dihanyutkan air dan penemuan mayat seorang lagi lelaki yang hanyut di tengah Queensland.
Ia adalah korban terbaru sejak sebahagian besar bahagian timur laut negara ini diisytiharkan zon bencana dan merupakan mangsa ke-10 yang terbunuh akibat hujan lebat yang melanda negara ini sejak 30 November lalu.
Seorang lelaki dilaporkan terbunuh selepas kenderaan yang dinaikinya dihanyutkan ke sungai ketika dia menyeberangi tambak, manakala mayat seorang lelaki berusia 38 tahun yang botnya karam Sabtu lalu berhampiran gunung Boyne River di Tannum Sands, kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, turut ditemui hari ini.
Lelaki yang berusia 38 tahun itu bersama temannya cuba berenang ke kawasan selamat setelah bot mereka mula dimasuki air dan dia kali terakhir dilihat terdampar di beting pasir. Temannya bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Banjir yang menenggelamkan seluruh timur laut Australia menyebabkan operasi menyelamatkan dilancarkan tanpa henti-henti, termasuk menyelamatkan sekumpulan penduduk yang cuba menyeberangi tambak yang dinaiki air di wilayah utara Teluk Carpentaria lewat kelmarin.
Sejak 30 November lalu, seramai tujuh orang terbunuh akibat banjir, termasuk gadis berumur 17 tahun yang lemas ekoran kakinya tersangkut di celah batu ketika cuba menyeberangi sungai yang semakin deras.
Perdana Menteri Julia Gillard hari ini turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.
"Banjir sangat merbahaya. Air yang deras menambahkan lagi tahap bahaya. Saya minta semua orang mematuhi arahan anggota kecemasan dan polis untuk bergerak dan menghadapi situasi bahaya ini," katanya.
Sementara itu, Filipina hari ini mengumumkan angka korban akibat hujan lebat yang melanda negara itu meningkat kepada lima orang selepas berlaku kejadian tanah runtuh terbaru.
Kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia setahun dan lima tahun terbunuh apabila tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di pulau Leyte semalam, menurut Pengurangan Risiko Bencana dan Majlis Pengurusan Kebangsaan.
Banjir dan tanah runtuh sepanjang hujung minggu lalu memaksa lebih 1,000 keluarga meninggalkan kediaman mereka di pulau Leyte dan Samar, dengan pasukan tentera dikerahkan untuk operasi menyelamat dan membersihkan jalan.
Seorang wanita muda yang dilaporkan hilang di semenanjung Bicol, pulau utama Luzon, ditemui mati. Banjir di kawasan itu memaksa lebih 62,000 orang ditempatkan di kem pemindahan kerajaan, tetapi ramai yang telah pulang sebelum tahun baru.
Hujan lebat masih melanda bahagian timur pulau Mindanao untuk hari ketiga berturut-turut hari ini, memaksa kira-kira 900 orang meninggalkan rumah mereka. - AFP

No comments:

Post a Comment