Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Anak Shah Iran bunuh diri di AS

Berita Harian Online




2011/01/05

WASHINGTON: Anak bongsu kepada bekas pemerintah Iran, Shah Iran meninggal dunia selepas dilaporkan membunuh diri di rumahnya di Amerika Syarikat, menurut keluarganya hari ini.

“Kami ingin memaklumkan bahawa ahli keluarga kami, Putera Alireza Pahlavi sudah meninggal dunia," kata anak sulung Shah Iran, Reza Pahlavi dalam laman webnya.

Reza berkata, adiknya yang berusia 44 tahun yang sedang belajar di Universiti Havard kebelakangan ini menghadapi tekanan akibat perkembangan politik yang berlaku di Iran.
“Seperti jutaan anak muda Iran lain, dia juga amat sedih dan tidak menyenangi apa yang sedang berlaku di Iran.

"Malah dia juga tidak dapat menerima tekanan selepas kehilangan ayah dan kakak ketika dia masih usia remaja dulu," katanya.

“Walaupun dia bertahan sejak beberapa tahun lamanya, akhirnya pada malam semalam (Selasa), di rumahnya di Boston, dia meninggalkan kami serta rakan-rakan," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Daerah Suffolk, Jake Wark berkata, Pahlavi, 44, ditemui meninggal dunia dengan satu kesan tembakan, dipercayai membunuh diri.
Katanya, pegawai polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2 pagi waktu tempatan.

Polis bagaimanapun tidak mengetahui siapa yang membuat panggilan itu sama ada ia dari kediaman berkenaan atau sebaliknya.

Alireza sedang mengikuti pengajian sarjana muda di Harvard, Massachusetts dalam bidang psikologi dan pengajian sejarah Iran.

Ayahnya, Shah Iran atau Mohammad Reza Shah Pahlavi, digulingkan pada 1979 dalam Revolusi Islam dan sejak itu tinggal dalam buangan bersama keluarganya di Amerika Syarikat.

Shah Iran meninggal dunia pada Julai 1980 dan dikebumikan di Mesir.

Selepas itu, anak perempuannya Leila Pahlavi, meninggal dunia pada 2001 ketika berusia 31 tahun dengan mayatnya ditemui di sebuah hotel di London.

Laporan menyebut kematian Leila disebabkan pengambilan dadah yang berlebihan. - AFP

No comments:

Post a Comment