Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Anak dipenjara, ibu tidak mengaku jual barang curi

Utusan Malaysia Online - Utara



Ehsah Ali dibawa keluar oleh anggota polis selepas didakwa memiliki dan menjual barang curi di Mahkamah Majistret, Kangar, semalam.


KANGAR 7 Jan. - Seorang wanita berusia 55 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menjual dan memiliki barang curi hasil kegiatan jenayah anak lelakinya.
Pada masa sama, si anak, Syahrulnizam Mahzan, 29, mengaku bersalah atas tiga tuduhan menyamun dan disebabkan pengakuannya itu, dia dihukum penjara 19 tahun dan sebatan lima kali.
Di Mahkamah Majistret, Eshah Ali, 55, didakwa melupuskan seutas gelang tangan emas bernilai RM3,150 yang diketahuinya sebagai barang curi dengan cara menjualnya kepada syarikat Perniagaan Azimah Arif.
Wanita tersebut turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu menerima atau menyimpan harta curi iaitu seutas rantai leher emas kepunyaan Yupha Banchop.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukannya di rumah tidak bernombor di Kampung Alor Merah, Tok Naya, Arau pada pukul 7.30 malam, 3 Januari lalu.
Dakwaan terhadap Eshah dikemukakan mengikut Seksyen 414 dan 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun Eshah memohon jumlah ikat jamin yang minimum memandangkan dia hanya suri rumah manakala suaminya adalah pesara.
Majistret Nurshahida Abdul Rahman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan sementara menunggu sebutan semula kes pada 20 Januari ini.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Syahrulnizam mengaku bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan samun dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyamun rantai leher dan gelang tangan bernilai RM8,000 milik Yupha pada pukul 1.30 petang, 26 Disember lalu di No. 2 Jalan Raya Kampung Seberang Belakang Istana, Arau.
Dalam kejadian tersebut, tertuduh didakwa menggunakan pisau pemotong sayur untuk menyamun mangsa yang ketika itu berada di dalam kedai.
Wan Norzanuar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan dua kali berkuat kuasa pada tarikh dia ditangkap iaitu 28 Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh mengaku mencuri rantai tangan Yam Safar, 70, selepas memukul mangsa dengan topi keledar di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit, Kampung Baru di sini pada pukul 5.30 petang, 27 Disember tahun lalu.
Bagi tuduhan tersebut, Syahrulnizam dihukum penjara 11 tahun dan sebatan tiga kali.
Sementara pertuduhan ketiga pula, dia mengaku merompak barang kemas dan wang tunai, kesemuanya bernilai RM3,800 milik Noor Freza Abdullah, 44, di Lot 437 Jalan Teja, RPA 2B, Arau pada 30 Ogos tahun lalu.
Bagi tuduhan itu, Wan Norzanuar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM5,000 ke atas tertuduh. Gagal membayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara enam bulan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga berjalan serentak serta berkuat kuasa selepas hukuman bagi pertuduhan pertama selesai.
Allan yang turut mengendalikan pendakwaan sebelum itu memohon hukuman berat kepada Syahrulnizam kerana dia mempunyai rekod lampau iaitu dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Langkawi atas kesalahan mencuri.

No comments:

Post a Comment