Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Adik Thaksin mungkin tanding jawatan PM Thai

Utusan Malaysia Online - Luar Negara




Yingluck Shinawatra


BANGKOK 7 Jan. - Adik perempuan bekas Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra disebut-sebut sebagai calon parti pembangkang untuk merebut jawatan tersebut dalam pilihan raya akan datang.
Jurucakap parti Puea Thai, Pormpong Nopparit berkata, beberapa anggota parti itu menyatakan sokongan kepada Yingluck Shinawatra sebagai seorang daripada calon Perdana Menteri tetapi mereka perlu berunding dan mengundi dahulu pada mesyuarat agung parti itu nanti.
Beliau berkata, parti itu akan memilih calon mereka selepas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang memimpin Parti Demokrat membubarkan Parlimen, yang menurut undang-undang ia perlu dilakukan pada tahun ini.
Thaksin, 61, kini tinggal di luar negara bagi mengelak dikenakan hukuman penjara di atas dakwaan rasuah. Beliau juga dikehendaki di atas tuduhan menghasut satu demonstrasi antikerajaan di Bangkok tahun lepas.
Hartawan yang menjadi Perdana Menteri itu mendapat sokongan daripada penduduk miskin luar bandar ketika beliau mentadbir Thailand tetapi digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 dan menghadapi tuduhan rasuah selain penyalahgunaan kuasa.
Thaksin masih mempunyai ramai penyokong terutama daripada pergerakan pembangkang Baju Merah yang mengadakan rusuhan jalanan besar-besaran di Bangkok pada April dan Mei lalu sehingga menyebabkan lebih 90 orang terbunuh ketika pertempuran antara askar dan perusuh.
Yingluck, 43, yang kini merupakan Presiden Eksekutif SC Asset Corp, sebuah syarikat hartanah, adalah anak bongsu dalam keluarganya. Jika beliau dicalonkan, beliau akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara itu.
Wanita itu juga pernah menjawat jawatan Presiden Unit Telefon Bimbit Shin Corp, kumpulan telekomunikasi yang diasaskan oleh Thaksin dan berada di tengah-tengah skandal cukai berhubung penjualan saham keluarga dalam kumpulan itu pada 2006.
''Beliau seorang yang merendah diri dan memiliki hubungan baik tetapi tidak dapat dikatakan sekarang bahawa Yingluck adalah pilihan kami,'' kata penasihat undang-undang kepada Thaksin, Noppadon Pattama.
Sebelum ini, laporan berita tempatan menyebut Thaksin yang kini berpangkalan di Dubai menyatakan sokongan kepada bekas Menteri Kewangan, Mingkwan Saengsuwan untuk memimpin parti itu. - AFP

No comments:

Post a Comment