Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

7 sekeluarga sehelai sepinggang




BUKIT TENGAH – “Ketika sedang menonton televisyen, saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat seperti bom, setelah ditinjau di luar, alangkah terkejutnya mendapati rumah jiran sedang terbakar,” kata Norizan A Rahman, 47, saksi kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah jirannya, di Kampung Tok Panjang, dekat sini, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah tiga bilik yang didiami mereka musnah sama sekali. Lebih malang, kejadian berlaku ketika mereka tiada di rumah.

Norizan ketika ditemui berkata, api dikatakan muncul dari bahagian bilik tidur dan marak hanya dalam masa hanya beberapa saat.

Menurutnya, penduduk cuba memadamkan api bagi mengelakkan ia terus merebak ke rumah sebelah. Bagaimanapun, usaha mereka untuk menyelamatkan barang-barang yang ada di dalam rumah gagal ekoran api yang terlalu marak.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, penduduk hanya sempat mengalihkan dua motosikal yang diletakkan di hadapan rumah, manakala yang lain tidak dapat diselamatkan.

“Kejadian in benar-benar mengejutkan kami kerana bunyi letupan itu sangat kuat hingga menggegarkan rumah kami,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Ramli Shaari, 51, berkata, mereka sekeluarga pulang ke kampung sebelah isteri di Tanjung Piandang, Perak bagi menghadiri upacara pengebumian ibu mertuanya yang meninggal dunia.

Menurutnya, dia bergegas pulang dari Tanjung Piandang selepas dimaklumkan jiran kira-kira jam 11.25 malam mengatakan rumahnya sedang terbakar.

“Saya tidak menyangka kejadian buruk ini menimpa kami sekeluarga kerana sebelum keluar rumah pada jam 4.30 petang, saya memastikan semua suis dalam rumah ditutup. Malah, tiada suis yang rosak kerana semua sudah diganti baru.

“Semua perkakasan di dalam rumah, dua komputer riba, satu komputer, tiga televisyen dokumen penting termasuk wang tunai RM5,000 hangus. Saya bercadang untuk memasukkan duit itu ke dalam bank pada Isnin nanti memandangkan Sabtu Ahad adalah hari cuti, tetapi apakan daya,” katanya yang menganggarkan jumlah kerugian mencecah RM60,000.

Dia yang bekerja sebagai pemandu forklift berkata, mereka sekeluarga menumpang di rumah jiran buat sementara waktu sebelum sebarang keputusan lain diambil.

Katanya apa yang berlaku sudah ditakdirkan, dan mereka reda dengan kejadian yang menimpa.

No comments:

Post a Comment