Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

5 termasuk tekong hilang





KUANTAN 31 Dis. - Seorang tekong dan empat nelayan hilang dikhuatiri mati lemas apabila bot yang mereka naiki karam dipercayai akibat dipukul ombak di perairan Kuantan kira-kira 15 batu nautika (27 kilometer) dari Tanjung Gelang, di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi, ketika bot membawa empat nelayan warga Thailand dan seorang tekong tempatan menangkap ikan di perairan tersebut.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah, Kapten Maritim, Abdul Aziz Idrus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pukul 1 tengah hari.
Katanya, tekong bot itu menghubungi ejen bot nelayan tersebut yang kemudian memaklumkan kepada Maritim Malaysia.
"Bertindak atas maklumat yang diperoleh dari Pusat Maritim Mencari dan Menyelamat Daerah, sebuah bot peronda KM Lang bersama 24 pegawai diketuai Leftenan Maritim Dzulfikar Ali bergegas ke lokasi kejadian pukul 2.40 petang.
"Operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan agensi kerajaan lain iaitu Pasukan Gerakan Marin dan Kapal KD Perak dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, hasil operasi yang dijalankan oleh KM Lang sebaik sahaja menerima laporan itu berjaya menemui bot tersebut di sekitar lokasi kejadian.
Katanya, sehingga kini pihaknya bersama agensi lain sedang mencari mangsa yang hilang dan bot tersebut ditunda oleh bot nelayan tempatan lain untuk dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.
Jelasnya, bot terbabit telah berlepas dari jeti nelayan di sini bagi menangkap ikan di perairan tersebut, Rabu lalu.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga pukul 7 petang ini kecuali jika keadaan laut bergelora dan angin kencang.
"Faktor cuaca perlu diambil kira memandangkan keadaan ombak mencapai ketinggian dua hingga 3.5 meter yang boleh menyukarkan operasi tersebut," katanya.
Abdul Aziz memberitahu, operasi itu dijangka diteruskan selama lima hari bermula semalam dan sekiranya tidak menemui mangsa maka ia akan dihentikan bagi mencari petunjuk baru.
Dalam pada itu, beliau meminta nelayan di negeri ini mengikuti perkembangan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi mengenai keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Katanya, ia berikutan musim hujan yang berlaku sekarang dijangka berlarutan sehingga Selasa depan dan amat berbahaya kepada bot kecil yang ingin keluar menangkap ikan di laut

No comments:

Post a Comment