Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

4 rancang serangan ala Mumbai direman



COPENHAGEN 31 Dis. - Mahkamah di Denmark dan Sweden semalam memerintahkan empat lelaki dikenakan tahanan reman berhubung komplot untuk melakukan pembunuhan ala Mumbai di pejabat sebuah akhbar Denmark, Jyllands-Posten yang menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad.
Lima lelaki ditahan pada Rabu lalu di kedua-dua negara kerana komplot yang disifatkan oleh pihak berkuasa Denmark sebagai satu rancangan untuk membunuh seramai mungkin dalam satu serangan ke atas pejabat akhbar itu di Copenhagen.
Akhbar itu menerbitkan 12 kartun menghina Nabi Muhammad pada September 2005 yang kemudiannya mencetuskan keganasan di seluruh dunia.
Sebuah mahkamah di Glostrup dekat Copenhagen memerintahkan tiga lelaki ditahan reman selama empat minggu selepas satu perbicaraan tertutup.
Satu lagi perbicaraan tertutup di Stockholm, Sweden pula memutuskan tahanan reman selama dua minggu kenakan ke atas suspek keempat yang mempunyai kaitan dengan kes ini.
Perkhidmatan Perisikan Denmark, PET mengenal pasti lelaki yang ditahan reman sebagai warga Tunisia berumur 44 tahun, warga Sweden kelahiran Lebanon berusia 29 tahun dan warga Sweden berusia 30 tahun.
Sementara itu, Denmark juga menimbang untuk membubarkan cawangan kumpulan Hizbut Tahrir di negara ini selepas pertubuhan Islam itu didakwa memalukan negara itu menerusi satu undangan ke sebuah majlis perdebatan berhubung perang di Afghanistan.
Menteri Kehakiman Denmark, Lars Barfoed berkata, beliau telah meminta peguam negara meneliti sama ada parti Islam Hizbut Tahrir di negara ini boleh dibubarkan secara sah atau tidak.
"Saya telah meminta peguam negara menimbangkan sama ada kes ini boleh dikemukakan ke mahkamah bagi membubarkan parti itu," katanya kepada agensi berita Ritzau semalam.
Semasa majlis debat itu yang diadakan di Perpustakaan Diraja di sini, Hizbut Tahrir memuji pertempuran terhadap tentera Denmark di Afghanistan selain memaparkan gambar tiga keranda berbalut bendera Denmark, Sweden dan Norway di peta Afghanistan. - AFP

No comments:

Post a Comment