Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

30 rumah setinggan musnah terbakar

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri


GUA MUSANG 7 Jan. - Sebanyak 30 buah rumah setinggan di Kampung Cindai, Bandar Lama Gua Musang di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Kebakaran pukul 1.15 pagi itu menyebabkan lebih 100 penduduk di situ tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamatkan harta-benda masing-masing.
Kejadian menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit itu merupakan yang kedua berlaku di kampung tersebut. Sebelum ini, beberapa buah rumah musnah dalam kejadian sama pada awal 2002 lalu.
Beberapa penduduk memaklumkan, api dipercayai bermula daripada sebuah rumah di situ yang memasang lilin kerana terputus bekalan elektrik pukul 10.30 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Che Rosli Che Sulaiman berkata, siasatan masih dijalankan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
"Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.26 pagi dan 13 anggota bersama empat jentera termasuk dua tangki air dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Bomba hanya mampu mengawal kebakaran selepas satu jam kerana kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Ariffin Mamat, 50, berkata, api marak pantas menyebabkan dia hanya mampu menyelamatkan beberapa dokumen penting keluarganya serta sebuah komputer riba milik anaknya.
Ariffin yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, wang RM500 disediakan untuk perbelanjaan anaknya kembali ke Universiti Utara Malaysia (UUM) 15 Januari ini turut terbakar.
Dalam pada itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V menunjukkan keprihatinan baginda apabila meluangkan masa melawat dan menyampaikan bantuan kepada semua mangsa.
Ketibaan baginda kira-kira pukul lima petang ternyata memberi semangat kepada semua mangsa di situ meskipun rumah mereka musnah.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut mengiringi baginda melawat mangsa dan berjanji akan menghulurkan bantuan.

No comments:

Post a Comment