Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

3 jam tersepit



SUNGAI NIBONG – Mayat seorang pemandu treler hanya berjaya dikeluarkan selepas tiga jam tersepit dalam kemalangan melibatkan tiga treler di Kilometer 59 Jalan Teluk Intan - Klang, dekat sini awal pagi, semalam.

Mangsa, Saiful Chat, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Dalam kejadian tersebut, mangsa maut tersepit pada bahagian pemandu selepas treler muatan besi dipandunya merempuh sebuah treler muatan baja yang berhenti di tepi laluan tersebut.

Rempuhan kuat itu turut menyebabkan sebuah lagi treler terseret lebih 1.5 meter daripada kedudukan asal.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa yang membawa muatan besi dalam perjalanan dari Perai ke Rawang tersepit apabila treler yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan baja yang berhenti di tepi jalan.

"Perlanggaran itu menyebabkan dua treler yang berhenti untuk proses menukar tayar terseret lebih kurang 1.5 meter daripada kedudukan asalnya", katanya.

Difahamkan, treler muatan baja berhenti di belakang treler muatan beras untuk membantu menukar tayar yang pecah.

Noor Mushar berkata, selepas hampir tiga jam, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Sentul, Serdang, Kedah, meninggalkan dua anak dan seorang isteri. Jenazahnya sudah dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung halaman,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa terselamat, pemandu treler muatan beras, Mohd Isa Osman, 46, berkata, sebelum kejadian, dua tayar treler yang dipandunya dari Kedah Ke Banting tiba-tiba meletup kira-kira jam 2.20 pagi dan bertindak memberhentikan trelernya itu.

Katanya, hanya ada satu tayar ganti membuatkan dia menghubungi rakannya, Hanizan Hassan, 40, yang membawa muatan baja dari Kedah ke Sungai Besar untuk mendapatkan satu lagi tayar.

“Hanizan tiba 20 minit kemudian dan ketika kami membuka tayar ganti di bahagian bawah treler Hanizan yang diletakkan di belakang treler saya, tiba-tiba berlaku hentaman dan dentuman kuat sehinggakan kami berdua terpelanting ke tengah jalan. Manakala, seorang lagi rakan dekat treler hadapan tiada apa-apa.

“Ketika itu, fikiran saya benar-benar kosong dan terkejut dengan apa yang berlaku. Namun, kami bersyukur kerana cuma mendapat cedera ringan dan terselamat. Bagaimanapun pemandu yang melanggar treler Hanizan, maut serta merta di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Hanizan berkata, dia mendapat panggilan daripada Mohd Isa ketika berada di Sabak yang meminta pertolongan mendapatkan tayar ganti.

“Saya datang membantu Mohd Isa memandangkan kejadian lebih kurang 10 kilometer sahaja dari destinasi. Sesampainya di sana, saya meletakkan segi tiga keselamatan dan memasang lampu kecemasan sebaik memberhentikan kenderaan.

“Namun tidak menyangka malang seperti ini berlaku. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana terselamat biarpun terpelanting ke tengah jalan apabila perlanggaran itu berlaku memandangkan ketika itu saya dan Mohd Isa berada di bawah lori yang dilanggar,” katanya.

No comments:

Post a Comment