Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

220 cakera padat dirampas




PASIR MAS – Modus operandi menjual cakera padat (VCD) cetak rompak dengan menempatkan beberapa gerai tanpa penjual dikesan semakin berleluasa meskipun banyak rampasan dilakukan pihak berkuasa.

Terbaru, rampasan sebanyak 220 keping VCD bernilai sebanyak RM1,100 dilakukan berdasarkan risikan sepasukan anggota daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) di Pasar Pagi Mundok pada jam 9.15 pagi, semalam.

Pegawainya, Hanafi Mamat berkata, pihaknya mendapati terdapat dua premis menjalankan urus niaga secara terbuka di kawasan pasar itu.

“Namun, dua peniaga wanita dalam lingkungan umur 30-an berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Hanafi berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Perintah Perihal Dagangan Label Cakera Optic 2010.

Menurutnya, jika disabit kesalahan, penjenayah didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuka kertas siasatan di bawah seksyen 41(1)(b) Akta Hak Cipta 1987 dengan denda RM2,000 sekeping atau penjara selama 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya menasihati semua penduduk agar tidak teragak-agak untuk melaporkan sebarang keraguan dalam penjualan VCD di pasaran.

“Penduduk juga dinasihati agar tidak terlibat dengan sebarang penyebaran mahupun penjualan VCD secara haram,” katanya.

No comments:

Post a Comment