Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

22 lembu sakit kuku, mulut

Utusan Malaysia Online - Selatan


JEMPOL 4 Jan. - Para penternak lembu di daerah ini bimbang dengan penularan penyakit kuku dan mulut ekoran sebanyak 22 ekor haiwan berkenaan dilaporkan mengalami tanda jangkitan wabak tersebut di negeri ini.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri, Datuk VS Mogan selepas melawat kawasan terbabit di Taman Jaya, dekat sini baru-baru ini.
Katanya, memang wujud tanda haiwan ternakan dijangkiti wabak itu, malahan ada beberapa ekor lembu dan kambing yang dilaporkan mati akibatnya.
''Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi saya berharap penularan penyakit kuku dan mulut yang menyerang haiwan ternakan itu dapat diatasi segera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mogan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang berkata, dia telah menerima aduan daripada penternak mengenai penularan wabak berkenaan dan mereka mahu Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri segera bertindak.
''Penyakit kuku dan mulut ini boleh tersebar sejauh lima kilometer melalui angin dan jika keadaan tidak dikawal, ia boleh membahayakan.
''Kita berharap jabatan berkaitan dapat bersama-sama penternak mencegah penyakit ini daripada menular dengan lebih serius, walaupun usaha itu sedang giat dilakukan ketika ini," jelasnya.
Sementara itu, penternak lembu, K. Tamil Selvan, 36, berkata, mereka menerima bekalan haiwan tersebut melalui projek Trust 2010 daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 16 Disember lalu.
''Seorang penternak lembu akan mendapat dua ekor lembu tenusu dan di daerah ini terdapat tiga penternak yang terpilih untuk mendapat haiwan itu.
''Selepas empat hari mendapat lembu berkenaan daripada jabatan terbabit, saya dapati haiwan peliharaan mula sakit. Masalah ini bertambah serius apabila mulut lembu itu mula mengeluarkan buih dan tidak mampu bergerak serta tidak boleh mengeluarkan susu, selain tidak mahu makan," katanya.
Dakwa Tamil, masalah tersebut turut dialami oleh penternak lembu lain dan ia menjadi lebih buruk apabila tiga ekor anak lembu yang dipeliharanya telah mati.
"Selepas kami maklumkan mengenai perkara itu, jabatan berkaitan datang memeriksa dan mengesahkan ia adalah jangkitan penyakit kuku dan mulut," ujarnya.
Bagi R. Mageswaran, 35, dia terpaksa menanggung kerugian walaupun tidak memperoleh lembu daripada jabatan berkaitan.
''Penyakit ini tersebar sehingga ke kawasan ternakan saya. Saya memiliki 120 ekor kambing, kini tiga ekor kambing telah mati dan bakinya pula ada yang sakit.
"Saya berharap jabatan berkaitan bertindak segera mengatasi masalah ini kerana saya telah mengalami kerugian dan pendapatan pula terjejas," tegasnya.

No comments:

Post a Comment