Search This Blog

Monday, January 31, 2011

2168 mangsa dipindahkan akibat banjir di tiga negeri





2011/01/30

KUALA LUMPUR: Hujan berterusan sejak awal pagi semalam mengakibatkan beberapa kawasan di seluruh negara dinaiki air hingga menyebabkan penduduk yang terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. 

Di MELAKA, lebih 198 penduduk di beberapa kampung sekitar Asahan dan Nyalas di daerah Jasin, terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat selepas rumah mereka ditenggelami air sedalam hampir satu meter akibat hujan lebat sejak awal pagi semalam.
Jurucakap Balai Polis Asahan berkata, sehingga jam 7 malam semalam, seramai 198 penduduk daripada 45 keluarga dari Kampung Relau, Kampung Sungai Dua dan Kampung Abby, Asahan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Asahan.
Di SABAH, enam pusat pemindahan banjir dibuka di Kota Marudu bagi menempatkan 1,270 penduduk daripada sembilan kampung daerah itu dan dua pusat sama mula beroperasi di Pitas dengan 44 orang dari empat kampung. 

Jurucakap Bilik Gerakan banjir berkata, operasi menyelamat mangsa dilakukan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Marudu sebaik menerima laporan ada kawasan dinaiki air. 

Setakat jam 2 petang semalam, pusat pemindahan yang dibuka di Kota Marudu ialah di Dewan Tandek dengan 433 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan (220), SK Bengkongan (207), Dewan Morion (50), Balai raya Kampung Rasak Laut (188) dan Bangunan KPD Timbang Batu (172). 

Bagi daerah Pitas, mangsa ditempatkan di Dewan Kampung Kusilad (28) dan Dewan SK Pandan Mandama (16). 
Di MIRI, lebih 700 penduduk di kawasan Bakong dan Tinjar, yang terletak di pedalaman Baram, masih terputus hubungan akibat banjir sejak tiga minggu lalu. 

Sebahagian besar penduduk itu ialah dari kawasan rumah panjang Turan dan Ree, yang terletak di sepanjang Sungai Buri Bakong. 

Menteri Muda Kemudahan Awam Sarawak, Sylvester Entrie Muran, berkata bantuan sudah dihulurkan kepada mangsa banjir di situ selepas mereka terperangkap sejak awal bulan lalu. 

“Sehingga pagi kelmarin, keadaan banjir di kawasan itu belum pulih sepenuhnya dengan air surut agak perlahan. Berikutan itu, saya meminta penduduk segera berpindah jika keadaan kembali buruk dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi sukar,” katanya di sini, semalam. 

No comments:

Post a Comment