Search This Blog

Saturday, January 1, 2011

200,000 terjejas banjir di Australia





2011/01/01

GAMBAR dari udara menunjukkan keadaan banjir yang melanda bandar Emerald, Queensland.
GAMBAR dari udara menunjukkan keadaan banjir yang melanda bandar Emerald, Queensland.
Kawasan lebih luas daripada Perancis, Jerman 

BRISBANE: Lebih 200,000 penduduk terjejas akibat banjir di timur laut Australia semalam selain dilaporkan meliputi kawasan lebih besar daripada negara Perancis dan Jerman.
Beribu-ribu rumah dan tempat perniagaan di seluruh negeri Queensland ditenggelami air selepas hujan berterusan beberapa hari menyebabkan sungai melimpah.
Seluruh penduduk dua bandar utama terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan kenaikan paras air, yang memutuskan hubungan jalan raya dan memusnahkan tanaman. 

Banjir sering berlaku di timur laut Australia berikutan hujan lebat ketika musim panas di Hemisfera Selatan, tetapi kerosakan yang berlaku akibat hujan akhir-akhir ini agak luar biasa, kata pemimpin Queensland, Anna Bligh. 

“Ia tragedi besar. Kini 22 bandar dan bandar raya ditenggelami air atau terputus hubungan kerana jalan raya tenggelam. 

“Ia mewakili kira-kira 200,000 orang di sebuah kawasan lebih besar daripada gabungan negara Perancis dan Jerman,” kata Bligh kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC). 
Beribu-ribu orang dipindahkan dari rumah mereka minggu ini. Di bandar Emerald, Queensland, kira-kira 1,000 orang dipindahkan dalam tempoh 24 jam lalu. 

Bandar berkenaan kemungkinan menghadapi kekurangan makanan, gangguan tenaga elektrik dan air banjir yang dicemari najis, kata Datuk Bandar, Peter Maguire. Tiga pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan penduduk terbabit. 

Cuaca di kebanyakan tempat di negeri berkenaan adalah kering semalam, tetapi paras sungai masih meningkat di sesetengah kawasan. 

Bligh turut memberi amaran bahawa kawasan yang ditenggelami mungkin berada dalam keadaan sedemikian selama lebih seminggu, dan usaha pembersihan dijangka menelan belanja berbilion dolar. 

Rockhampton yang terletak di kawasan pantai, dijangka ditenggelami hari ini. Jalan raya dan landasan kereta api dijangka terputus hari ini, dan lapangan terbang bandar raya akan ditutup hujung minggu ini. 

Penduduk di kawasan terbabit mula dipindahkan semalam, bermula dengan orang lanjut usia dan mereka yang tinggal di kawasan rendah. 

Wujud kebimbangan mengenai bekalan makanan di bandar raya berkenaan, dan kebanyakan kedai sudah pun kehabisan roti, susu dan daging segar, kata Datuk Bandar Rockhampton, Brad Carter. 

Gary Boyer, pengurus serantau rangkaian pasar raya Woolworths, berkata syarikat berkenaan akan menghantar 43 trak dipenuhi perbekalan ke Rockhampton. 

Queensland melancarkan tabung mangsa banjir dengan peruntukan AS$1 juta (RM3 juta) daripada kerajaan. Perdana Menteri, Julia Gillard berikrar akan menambahkan sumbangan dengan jumlah sama, daripada dana persekutuan. – AP

No comments:

Post a Comment