Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

2 wanita Myanmar dibunuh





MELAKA 15 Jan. - Dua wanita warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman pisau di sebuah rumah di Taman Malim Permai di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Myat Myat, 35, dan pembantu rumahnya, Taw Taw Nyo, 31.
Mayat mangsa ditemui oleh adik Myat yang datang ke rumah tersebut pada pukul 1.30 petang ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati, berlaku pertengkaran antara Myat dengan sekumpulan lelaki di dalam rumah tersebut antara pukul 11.30 hingga 12 tengah hari.
"Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 2.15 petang dan sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, polis menemui mangsa pertama yang merupakan isteri kepada pemilik rumah di lantai bahagian ruang tamu.
"Mayat mangsa kedua yang merupakan pembantu rumah kepada keluarga ini pula ditemui di lantai bahagian dapur," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Raja Shahrom, terdapat kesan tikaman di tubuh kedua-dua mangsa malah polis turut menemui sebilah pisau dan tukul yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, anak perempuan mangsa yang berusia lima bulan dan berada di bilik tingkat atas rumah ketika kejadian terselamat dan tidak diapa-apakan oleh suspek.
Menurut Raja Shahrom, mangsa juga dipercayai tidak dirompak apabila tiada barang berharga yang hilang selain keadaan rumah berkenaan tidak berselerak.
Ketika kejadian, suami mangsa yang juga warga Myanmar dan seorang peniaga tiada di rumah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, jiran mangsa, Wan Choyow, 60, mendakwa terdengar bunyi pertengkaran dan pergaduhan di rumah berkenaan pada pukul 11.30 pagi.
"Pada mulanya saya tidak ambil tahu sangat pertengkaran ini kerana menyangka mereka suami isteri bergaduh.
"Kira-kira 30 minit kemudian, saya lihat dua lelaki dipercayai warga Myanmar bertubuh kurus dan berambut panjang keluar dari rumah tersebut," katanya.
Sementara itu, adik lelaki mangsa, Nanda, 30, berkata, dia datang ke rumah berkenaan pada pukul 1.30 petang dan memanggil kakaknya namun tiada jawapan.
"Saya juga cuba telefon kakak namun tidak berangkat. Mendapati keretanya ada, saya cuba meninjau ke dalam melalui tingkap belakang dan nampak kakak sudah terbaring berlumuran darah.
"Saya kemudian menghubungi adik beradik lain sebelum menghubungi pihak polis," katanya.

No comments:

Post a Comment