Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

1,485 kes denggi di Melaka



ALOR GAJAH 15 Jan. - Sebanyak 1,485 kes denggi dilaporkan berlaku di negeri ini sepanjang tahun lalu melibatkan 12 kematian dalam tempoh tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Datuk Norpipah Abdul berkata, daripada jumlah keseluruhan kes denggi, sebanyak 313 kes dikenal pasti sebagai denggi berdarah.
Katanya, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes denggi tertinggi iaitu 1,047 kes, Alor Gajah dengan 239 kes manakala daerah Jasin 199 kes.
"Daripada 12 kes kematian denggi, empat kes kematian di daerah Melaka Tengah, lima kes di Alor Gajah manakala tiga kes kematian dilaporkan di daerah Jasin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Remaja Berbasikal Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) Taman Kelemak Perdana di sini, hari ini.
Selain itu katanya, kes denggi yang dilaporkan setakat semalam ialah 35 kes dengan daerah Melaka Tengah masih mendahului dengan 27 kes, Alor Gajah dengan lima kes manakala Jasin dengan tiga kes.
Menurut Norpipah, masyarakat tidak seharusnya memandang ringan ancaman nyamuk aedes dan perlu bertindak segera sekiranya mereka didapati mengalami tanda-tanda penyakit demam denggi.
Ujarnya, bagi mengelak lebih banyak kematian akibat demam denggi, pihaknya sentiasa meningkatkan penerangan mengenai bahaya ancaman nyamuk aedes secara agresif melalui media, risalah dan iklan.
Kata beliau, inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk Taman Kelemak Perdana menubuhkan skuad berbasikal Combi wajah dicontohi oleh masyarakat lain bagi membantu kerajaan menangani denggi.
"Sebelum ini, penduduk Taman Kelemak Perdana sudah menubuhkan skuad berbasikal Combi dewasa yang dianggotai 14 penduduk taman di situ," ujarnya.
Katanya, sebagai permulaan, skuad Combi remaja taman itu dianggotai 17 orang yang berusia antara 10 hingga 15 tahun dan berperanan memeriksa serta menawarkan diri bagi tujuan membersihkan rumah penduduk.

No comments:

Post a Comment