Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

12 ditahan seleweng minyak masak



BERA 15 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menahan 12 peruncit dan pembekal yang dikesan terlibat dalam kegiatan menyeleweng bekalan minyak masak sejak 3 Januari lalu.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, lapan kes melibatkan pembekal manakala selebihnya adalah peruncit.
Menurut beliau, kesemua peruncit terbabit ditahan kerana menyorok bekalan minyak masak manakala pembekal terbabit disiasat berikutan disyaki menjual ke negara jiran atau industri.
"Kes-kes menyorok minyak masak di kalangan peruncit dikesan di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor manakala penahanan di kalangan pembekal dilakukan di Selangor, Johor, Terengganu, Kelantan, Perak dan Perlis," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerangan, ramah mesra dan dialog pembangunan bersama peneroka di Dewan Orang Ramai Felda Tembangau dekat sini hari ini.
Baru-baru ini, beberapa negeri mengalami masalah kekurangan bekalan minyak masak berikutan tindakan segelintir peruncit dan pembekal menyorokkan bahan masakan itu.
Tindakan itu dilakukan kononnya ekoran kerajaan berhasrat untuk menaikkan harga minyak masak di pasaran.
Ismail Sabri memberitahu, semua peruncit dan pembekal yang ditahan itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

No comments:

Post a Comment