Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

10 pelayan warga Indonesia ditahan





Anggota Jabatan Imigresen Johor memeriksa beberapa pelayan pendatang asing tanpa izin di sebuah restoran di Taman Universiti Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 15 Jan. - Kesibukan 10 warga Indonesia melayan pelanggan di sebuah restoran di Taman Universiti di sini terbantut apabila mereka ditahan pegawai Jabatan Imigresen negeri di sini kelmarin.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Nasir Abas berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk enam wanita itu ditahan dalam Ops Selera yang dijalankan oleh pihaknya selama empat jam bermula pukul 8 malam.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada pemberita selepas serbuan berakhir di sini kelmarin.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati restoran berkenaan dijadikan kafe makanan barat pada siang sebelum bertukar menjadi restoran makanan Indonesia pada malamnya.
Difahamkan, restoran berkenaan menjadi tumpuan warga Indonesia kerana menyediakan pelbagai menu dari seberang termasuk bakso asli Indonesia.
Selain kesemua PATI berkenaan, turut ditahan tiga pemilik restoran berkenaan atas kesalahan menggaji warga asing tanpa mempunyai sebarang dokumen yang sah, katanya.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan ke atas sebuah rumah kedai tidak jauh dari restoran berkenaan, pihaknya turut menahan dua lelaki Bangladesh yang juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Peraturan 39 (B) Akta Imigresen 1963 dan kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 45 tahun dibawa ke Depoh Tahanan di Pekan Nanas, Pontian.

No comments:

Post a Comment