Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 29 Dis. - Pihak pendakwaan hari ini menutup perbicaraan kes terhadap Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian remaja, Aminulrasyid Amzah selepas saksi terakhir, Koperal Zainon Harun selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar yang mengetuai pasukan pendakwaan turut menawarkan 30 saksi daripada senarai saksi mereka kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri.
Hakim Latifah Mohd. Tahar menetapkan 28 Januari ini untuk kedua-dua pihak berhujah di akhir kes pendakwaan.
Jenain, 48, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.
Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bermula pada 12 Oktober lalu dengan 39 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad.
Sementara tertuduh diwakili tiga peguam bela, M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Asghar.
Terdahulu, pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Abd. Halim Ismail yang menyambung keterangannya mengesahkan tembakan yang dilepaskan bagi menghentikan kereta dipandu Aminulrasyid pada malam kejadian adalah satu tindakan yang sah di sisi undang-undang.
Katanya, ia berdasarkan keadaan yang mana Aminulrasyid melakukan pelbagai kesalahan termasuk menghimpit dua kereta peronda polis sehingga hampir terbabas di samping tiada cara lain untuk memberhentikan kenderaan tersebut.
Semasa disoal oleh Mohd. Dusuki, beliau menyatakan bahawa cara terbaik dan selamat untuk menahan kereta yang dipandu laju adalah dengan tiga kereta peronda polis mengejar dan cuba memberhentikan kenderaan tersebut sekiranya mampu.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis hanya boleh menggunakan senjata api sekiranya pihak yang cuba ditahan melepaskan tembakan atau dalam keadaan terancam.
"Kesalahan Aminulrasyid pada malam kejadian tidak melibatkan penggunaan senjata api.
"Bagaimanapun mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara, dalam keadaan kita terancam dan perlu guna senjata api, boleh lepaskan tembakan," jelasnya.
Abdul Halim turut mengesahkan Aminulrasyid melakukan sekurang-kurang lapan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 semasa memandu kereta Proton Iswara BET 5023 pada malam kejadian.
Ia termasuk memandu secara berbahaya, tidak memberhentikan kenderaan apabila berlaku kemalangan, tidak mematuhi arahan berhenti dan menggunakan kenderaan tanpa izin pemilik.
Beliau yang bertugas di Cawangan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, kesalahan-kesalahan itu tidak memerlukan waran untuk membolehkan remaja itu ditahan.
Sementara itu, saksi ke-39 iaitu saksi terakhir pendakwaan, Zainon memberitahu, dia berusaha mendapatkan sebuah trak penunda untuk membawa kereta Proton Iswara terbabit ke IPD Shah Alam pada 26 April lalu.
Katanya, dia tidak membuat permohonan untuk mendapatkan trak tunda polis kerana ia perlu melalui beberapa prosedur sedangkan kereta itu perlu segera dibawa keluar dari tempat kejadian untuk siasatan lanjut.