KEMAMAN – Sindiket gores dan menang dipercayai menukar taktik dengan turut menggunakan ilmu pukau bagi memudahkan mereka memperdaya serta mempengaruhi seorang warga emas agar menyerahkan semua barang kemas sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM5,500 dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, di Jalan Gong Pauh, Chukai, kelmarin.
Mangsa, Teh Hamzah, 61, berkata, sebaik sahaja dua lelaki dipercayai dalam lingkungan 30-an berkenaan masuk ke dalam rumah dan bersalam dengannya, dia hanya mengikut apa sahaja yang diminta dua lelaki itu.
Malah, katanya, ketika didatangi salah seorang lelaki itu pada awalnya, lelaki terbabit membuat helah dia menjalankan kempen kitar semula, selain bertanya mengenai botol kosong atau barang kitar semula yang boleh dikumpulkan.
“Pada mulanya, seorang daripada lelaki itu datang ke rumah makcik dan memanggil. Makcik yang ketika itu baru selesai mandi menyahut, bagaimanapun makcik hanya berbual dengannya melalui tingkap dan tidak membuka pintu dan dia meminta makcik mengumpulkan semua barang yang boleh dikitar semula sebelum memberitahu akan datang semula untuk mengambilnya dengan lori,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.
Kata Teh yang ketika itu tinggal sendirian di rumah, kira-kira 10 minit kemudian, lelaki terbabit datang kembali sebelum masuk ke dalam rumah walaupun dia tidak mempelawa.
“Lelaki ini sangat ramah dan masuk ke dalam rumah dengan selamba sebelum duduk di ruang tamu serta segera menghulurkan tangan bersalam dengan mak cik.
"Biasanya makcik tak benarkan orang tidak dikenali masuk dalam rumah dengan mudah tetapi kali ini tidak terfikir untuk menghalangnya," katanya.
Sejurus itu, katanya, lelaki terbabit beria-ia mengatakan Teh memenangi hadiah sebuah mesin basuh atas kerjasamanya menyertai kempen kitar semula itu.
"Tetapi makcik mengatakan tidak mempunyai wang, namun kata lelaki itu mak cik tidak perlu menggunakan wang untuk menuntut hadiah itu, sebaliknya hanya perlu menunjukkan barang kemas.
“Malah, bagi meyakinkan kata-katanya betul, dia turut menelefon seseorang yang dia panggil ‘Pak Haji’ sebelum menyuruh mak cik bercakap dengan lelaki itu selama beberapa minit sehingga makcik percaya kerana menurut kata 'Pak Haji’ itu, sudah ramai yang bertuah seperti makcik dan mendapat peralatan elektrik,” katanya.
Menurut Teh, sejurus kemudian, datang seorang lagi lelaki Cina dan kedua-duanya meminta dia menanggalkan seutas gelang emas yang dipakainya ketika itu untuk melihat nombor siri emas untuk dicatatkan dalam satu borang bagi menuntut hadiah gores dan menang itu.
“Setelah dipujuk makcik akhirnya menyerahkan gelang emas yang dipakai dan selepas itu, mereka bertanya mengenai barang emas lain dan menyuruh makcik mengambilnya serta menyerahkan kepada mereka.
"Sebab tidak tahan dipujuk dan didesak, makcik kemudian mengambil seutas lagi gelang emas yang disimpan di dalam bilik dan diserahkan kepada mereka, namun makcik berat hati dan sampai sudah tidak menyerahkan rantai yang dipakai walaupun mereka berkali-kali memujuk makcik menanggalkannya sekejap,” katanya.
Menurut Teh, ketika kedua lelaki Cina itu masih memujuknya, tiba-tiba anak lelakinya, Mohd Faizal Musa, 30, yang bekerja di Teluk Kalong, Kijal pulang ke rumah untuk mengambil resit pembaikan televisyen.
“Ketika anak masuk ke rumah salah seorang lelaki Cina itu segera mendapatkannya dan bersalam. Malah, yang peliknya anak makcik tidak sepatah pun bertanya siapa kedua-dua lelaki itu kerana biasanya dia melarang makcik membawa masuk orang tidak dikenali ke rumah.
"Bahkan makcik sendiri pun ketika itu ‘berat mulut’ untuk menegur anak sebelum dia pergi semula bekerja,” katanya.
Kata ibu kepada empat anak ini, dua lelaki itu terus memujuknya menanggalkan rantai itu namun dia tetap enggan sebelum terdengar azan Zohor lantas meminta kebenaran untuk mengerjakan solat seketika, namun apabila dia ingin mengambil kembali gelang tangan itu kedua lelaki itu melarang dan menyuruhnya menunaikan solat dahulu.
“Selepas selesai solat di dalam bilik tiba-tiba makcik dapati mereka telah tiada di ruang tamu dan yang tinggal hanya kad pengenalan makcik di atas lantai ruang tamu.
"Mak cik yang masih bertelekung kemudian berlari mencari mereka di luar rumah dan bertanya jiran dan ketika itulah baru mak cik kembali sedar kejadian yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, kebetulan dia tinggal keseorangan disebabkan tiga lagi anak perempuannya termasuk anak bongsunya, Norul Huda, 24, ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Abdul Marlik Hakim Johar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda.