SIBU: Kanak-kanak yang ditemui di sisi ibunya yang sudah tidak bernyawa kini menumpang kasih sayang bersama ‘ibu’ baru’ selepas dipelihara ibu saudaranya.
Wanita berusia 30-an itu menyatakan kesudian untuk memelihara kanak-kanak perempuan berusia empat tahun berkenaan selepas mendapat tahu berita kematian adiknya dipercayai dibunuh, petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan berkata, kakak mangsa tidak sanggup membiarkan anak saudaranya kehilangan kasih sayang apatah lagi bapanya yang berusia 37 dipercayai suspek utama kini direman.
“Ibu saudara kanak-kanak terbabit menyatakan kesudian sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga adiknya. “Buat masa sekarang, kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Sibu dan keadaan dilaporkan stabil.
“Pada masa sama, kanak-kanak itu ditemani wanita berkenaan, manakala polis masih menjalankan pemantauan termasuk menempatkan anggota di hospital,” katanya.
Muka depan Harian Metro semalam melaporkan seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan kelaparan tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang berulat dipercayai meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu di sebuah rumah teres di Jalan Hua Kee di sini, semalam.
Kanak-kanak terbabit ditemui bersama mayat ibunya, Madeline Chadon jam 4.30 petang kelmarin, dilihat duduk dalam keadaan tidak bermaya di sisi jasad ibunya yang terlentang di atas tilam dalam bilik tidur dengan kesan kecederaan di badan dan telinga kanan dipercayai dibunuh.
Kejadian itu disedari selepas polis bergegas ke lokasi berikutan laporan daripada tuan rumah yang didiami wanita berumur 36 tahun itu apabila terhidu bau busuk.
Pemilik rumah berkenaan pada mulanya ke rumah yang didiami ibu tunggal terbabit untuk memungut sewa bulanan sebelum curiga apabila panggilannya tidak bersahut selain terhidu bau busuk yang meloyakan dari dalam rumah berkenaan.
Dengan bantuan polis, pintu rumah itu dibuka dan sebaik masuk anggota terbabit melihat sekujur tubuh dalam keadaan berulat terlentang di atas tilam di dalam bilik tidur.
Di sisi mayat kelihatan seorang kanak-kanak perempuan duduk dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dipercayai kerana tidak makan dan minum sejak beberapa hari lalu.
Siasatan polis menemui beberapa kesan kecederaan pada kepala dan telinga kanan mangsa dan tidak menolak kemungkinan wanita yang berasal dari Sibu itu menjadi mangsa pembunuhan.
Dalam pada itu, Zamani berkata, lelaki yang juga bekas suami mangsa direman tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan.
“Kami sudah mendapat perintah mahkamah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.