Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketika kejadian, kira-kira jam 8.30 malam, mangsa, 32, bersama saudaranya, 35, dan seorang wanita yang juga rakan saudaranya itu, 21, diserang sekumpulan lelaki dipercayai rakan senegara di rumah kongsi di tapak projek berkenaan.
“Mangsa bersama dua yang lain diserang kumpulan lelaki terdiri daripada empat orang kesemuanya dengan menggunakan senjata tajam termasuk pisau, parang dan kayu.
“Mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala mati di tempat kejadian manakala dua lagi yang lain hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Besar Dungun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan gaji antara mangsa dan empat suspek: yang berjaya melarikan diri selepas kejadian.
“Difahamkan, empat suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang juga merupakan penyelia (mandor) di tapak projek itu,” katanya.
Menurutnya, empat suspek sedang diburu dan diharapkan penahanan tiga individu iaitu seorang daripada mereka ditahan di Dungun, pada 10.30 malam hari kejadian, manakala dua lagi ditahan di kampung Besut, Kemaman sekitar jam 11.50 malam hari sama, dapat membantu siasatan.