2010/12/08
IPOH: Polis sudah mengenal pasti salah seorang daripada dua suspek yang menembak tiga lelaki di Taman Sri Wangsa, Batu Gajah, kelmarin dan dia dijangka ditahan tidak lama lagi. Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Najib Mohamad, berkata polis juga mendapat maklumat bahawa motif kejadian itu adalah sebagai membalas dendam.Dalam kejadian jam 11.45 malam kelmarin, dua daripada tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta cedera ditembak oleh seorang lelaki bersenjatakan pistol.Sebelum kejadian itu, dua kumpulan yang dianggotai suspek dan mangsa dilaporkan bergaduh.
Mangsa yang cedera ialah pemandu kereta berkenaan K Raja, 31, dari Taman Sri Wangsa, Batu Gajah; M Paramsivan, 24, dari Taman Desa Ria, Petaling Jaya, Selangor sementara seorang lagi yang berumur lingkungan 20-an yang duduk di bahagian tempat duduk belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ia berlaku semasa kereta yang dinaiki tiga lelaki berkenaan dihampiri oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal yang salah seorang daripadanya telah melepaskan 11 das tembakan ke arah mereka yang berada di dalam kereta itu di Taman Sri Wangsa.
Najib berkata, Raja yang bekerja sebagai pengimpal besi mengalami kecederaan di bahu kanan manakala Paramsivan yang bekerja sebagai pemandu lori cedera di paha kiri.
"Kedua-dua mangsa masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan keadaan mereka adalah stabil," katanya sambil menambah seorang daripada mangsa mempunyai rekod jenayah lampau. - BERNAMA