06/12/2010 5:39pm
SHAH ALAM 6 Dis. - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan berhubung dakwaan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, di sini bernilai RM6.5 juta, hanya dengan harga RM3.5 juta pada tiga tahun lalu.
Ketika bercakap kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Sesyen Shah Alam kira-kira pukul 3 petang ini memberitahu, beliau percaya dengan sistem perundangan di negara ini yang disifatkan mampu membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut.
Katanya, sepanjang pengetahuan beliau, pembelian tanah dan kediaman berkenaan melibatkan jumlah hanya RM3.5 juta dan bukannya RM24 juta seperti yang didakwa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim sebelum ini.
Malah katanya, proses pembelian tanah dan kediaman berkenaan juga turut dilakukan mengikut prosedur yang betul termasuk melibatkan penilaian nilai hartanah oleh pihak bank dan sebagainya.
“Saya fikir biarlah mahkamah buat keputusan (mengenai tuduhan itu). Saya juga mempunyai keyakinan yang tinggi sistem perundangan negara.
“Saya yakin kes ini dapat dibicarakan segera supaya saya dapat bersihkan nama daripada arena politik dan serta sebarang dakyah daripada pembangkang" katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan itu, Mohamad Khir menyatakan bahawa beliau membeli tanah serta kediaman tersebut mengikut harga pasaran manakala pembelian itu dibuat atas dasar beliau sebagai pembeli yang berminat (willing buyer).
Menurut beliau, pemilik sebelum ini (Pengarah syarikat Ditamas Sdn. Bhd., Datuk Shamsuddin Haryoni) menyatakan bahawa hartanah seluas 55,000 kaki persegi itu dibeli daripada pemilik pertama pada harga RM6.5 juta dan kemudian menjual kepadanya pada harga RM3.5 juta.
Mohamad Khir ketika ditanya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suee Lim sekiranya mahkamah memutuskan beliau tidak bersalah terhadap pertuduhan itu berkata, beliau akan meneruskan tindakan ke atas wakil rakyat daripada DAP itu.
Mohamad Khir hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah yang bernilai RM6.5 juta hanya dengan harga RM3.5 juta.
Shamsuddin Haryoni turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Mohamad Khir dan Shamsuddin masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM750,000 dengan seorang penjamin.
Menurut Mohamad Khir, wang jaminan yang dibayar oleh seorang penjamin di kaunter bayaran mahkamah berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang ini diperoleh hasil kutipan daripada ahli keluarganya. - Utusan