Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, sehingga petang semalam, pihaknya masih belum menerima keterangan daripada mana-mana individu.
Katanya, identiti lelaki yang menyamar sebagai polis itu masih belum dikenal pasti kerana pengadu sebelum ini tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kereta yang dinaiki individu berkenaan.
“Kami (polis) tidak dapat menangkap individu itu kerana tidak mempunyai maklumat lengkap berkaitan dengannya.
“Siasatan masih dijalankan dan kami minta sesiapa yang pernah menjadi mangsa tampil memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Rabu lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa ditahan seorang lelaki mengaku anggota polis, menaiki kereta jenis Proton Saga Aeroback sebelum diarahkan masuk ke dalam kenderaan berkenaan dan meminta wanita itu menunjukkan pasportnya.
Bagaimanapun, apabila mendapati pasport itu adalah sah, lelaki tersebut meminta wanita berusia 43 tahun itu membuat 20 salinan, sebelum memberhentikan keretanya berhampiran sebuah kedai gambar di Seksyen 7, Shah Alam.
Wanita itu kemudiannya diarahkan supaya meninggalkan semua barang yang dibawanya dan apabila keluar untuk membuat salinan, didapati kereta itu lesap bersama barangnya.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu berbadan tegap, mempunyai ketinggian lima kaki lima inci, berkulit kuning langsat, berambut pendek dan menggunakan kereta Proton Saga Aeroback biru tua.
Noor Azam berkata, sasaran utama mangsa kes itu adalah pekerja warga asing:.