Kumpulan itu yang bersenjatakan parang, besi pengunci stereng selain tukul seolah-olah mempunyai agenda lain apabila terlebih dulu memecahkan peti sejuk, cermin kedai, perhiasan, rak dan pelbagai kemudahan di situ.
MANGSA...gambar atas kiri, pekerja yang cedera di kepala akibat dihentak dengan tukul besi, gambar lain menunjukkan peralatan restoran yang dirosakkan.
Tidak cukup dengan itu, pekerja yang ditugaskan membuat roti canai turut dihentak dengan tukul besi sehingga berlumuran darah sebelum mereka bertindak melarikan diri dengan dua kereta sejurus melakukan rompakan kira-kira jam 11.30 malam pada Sabtu lalu.
Pemilik restoran berkenaan, Mohamed Nor Haja Najimuddin, 23, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan tujuh pekerjanya sedang berkemas kerana mahu menutup perniagaan.
Dia bagaimanapun terkejut apabila enam lelaki tiba-tiba meluru masuk dengan membawa pelbagai senjata antaranya parang dan besi.
“Mereka seperti mengamuk dan menghayun besi sebelum menghentam pelbagai barangan dalam restoran. Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian.
“Tidak cukup dengan itu, mereka turut memecahkan peti sejuk yang menempatkan ais krim dan satu lagi peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan minuman dalam tin serta botol. Turut sengaja dipecahkan adalah cermin premis serta rak kaca,” katanya, semalam.
Menurutnya, kumpulan lelaki itu juga memecahkan mesin daftar wang sebelum merampas wang jualan dan turut melarikan sebuah peti simpanan. Kerugian dianggarkan hampir RM30,000 termasuk wang tunai berjumlah RM2,400.
Katanya, semua lelaki terbabit tidak memakai sebarang penutup muka dan dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an. “Tindakan mereka itu seperti mahu menghancurkan perniagaan saya dan saya tidak pasti sama ada ia adalah rompakan biasa atau mereka ada niat lain terhadap kami. “Tetapi, pegawai penyiasat yang menyiasat kes ini memberitahu ia adalah taktik biasa rompakan yang bertujuan ingin menakutkan orang yang berada dalam premis sebelum melarikan wang dan barang berharga,” katanya yang baru saja mengambil alih restoran itu pada Ogos lalu.
Sementara itu, pekerja warga India berusia 42 tahun yang dihentak di kepala dengan tukul besi itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta dan menerima tujuh jahitan.