SELAYANG – Keberanian melintas jalan utama penuh sesak di Jalan Ipoh, arah antara Kuala Lumpur-Rawang, di sini membawa padah kepada seorang datuk bersama cucunya apabila dilanggar kereta.
Dalam kejadian 7.45 petang kelmarin itu, mangsa dipercayai keturunan Myanmar maut di tempat kejadian, manakala cucunya berusia dua tahun parah setelah melekat di cermin kenderaan jenis Honda dipandu seorang lelaki berusia awal 20-an.
Menceritakan detik insiden, saksi kejadian, Ashraf Azuan Wan Bahador, 17, berkata, ketika itu dia baru pulang dari pusat tuisyen dengan jarak kira-kira 300 meter, terdengar bunyi kuat dari tempat kejadian.
Katanya, serentak itu dia datang melihat kejadian berlaku dan ketika sampai didapati seorang lelaki dewasa sedang terbaring di lorong kanan jalan (arah ke Rawang), manakala seorang kanak-kanak lelaki seakan melekat di cermin kereta.
“Semasa melanggar, kereta itu bergerak dan berhenti kira-kira 100 meter dari tempat lelaki itu jatuh. Kemudian saya nampak lelaki Cina berusia lingkungan awal 20-an keluar dari kereta dan meraung melihat keadaan kanak-kanak di cermin keretanya.
“Keadaan kanak-kanak itu ketika itu terlentang di cermin kereta, dengan sebahagian bahagian belakang kepala menembusi cermin kereta retak itu,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Menurut Ashraf, beberapa minit kemudian, kenderaan dari Hospital Selayang datang dan membawa kanak-kanak itu menaiki ambulans.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Mahmood Khan, 35, berkata, mangsa adalah rakan senegaranya dari Myanmar sudah tinggal di sini sejak kira-kira 15 tahun lalu.
“Dia (mangsa) bekerja di Pasar Borong Selayang, manakala isterinya bekerja di pasaraya dibuka 24 jam berhadapan Warta Lama, di sini dan mereka memang sering menjaga cucu.
“Mangsa berusia lewat 50-an bersama cucunya mahu pulang ke rumah di Flat Desa Bakti selepas berjumpa dengan isterinya ketika itu sedang bekerja di pasaraya,” katanya.
Menurut Mahmood, selama mengenali lelaki itu dia mengetahui sedikit sebanyak latar belakang mangsa, di mana ada antara anaknya berkahwin dengan orang tempatan dari Terengganu.
Katanya, jalan itu mempunyai tiga lorong bagi kedua-dua hala ke Rawang dan Kuala Lumpur itu kebiasaannya digunakan untuk melintas jalan bagi orang Myanmar bekerja di Pasar Borong Selayang.
“Jalan ini memang berbahaya kerana boleh dikatakan sebulan sekali pasti ada kemalangan membabitkan orang melintas.
“Tetapi kita terutama dari Taman Desa Bakti terpaksa gunakan laluan ini kerana ia salah satu jalan pintas yang ada. Jika ikut jejantas agak jauh,” katanya.