KUALA LUMPUR: Empat ahli lembaga pengarah koperasi, termasuk seorang bergelar Datuk hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menjalankan koperasi tanpa lesen serta menjalankan perniagaan skim cepat kaya, dua tahun lalu.
Mereka ialah Datuk Nabil Abdul Kadir, 47, Saiful Bakhri Abdullah, 28, Md
Sarip Salleh, 49, dan Lee Wei Onn, 43, dari Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menerima pinjaman daripada bakal ahli koperasi itu sebanyak RM2 juta (RM500,000 setiap tertuduh) sebelum koperasi
itu didaftarkan secara sah di tingkat bawah, 1 dan 2, Blok A, Setiawangsa
Business Suites, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa di sini antara 22 Mac
2008 dan 9 Jun 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 10A (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan
boleh dihukum denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima
tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menjalankan kutipan pelaburan skim
cepat kaya atas nama Units@Neocyber dengan menjanjikan bayaran dividen sehingga
16 peratus setahun kepada ahli koperasi walaupun koperasi itu masih belum
mempunyai aktiviti yang mampu menjana pendapatan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama dari 13 Ogos 2008 hingga
Mac 2009, mengikut Seksyen 45(1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang
memperuntukkan denda tidak melebihi RM200,000.
Untuk pertuduhan ketiga, mereka didakwa menjalankan kutipan pelaburan "Gold
Members" dengan menjanjikan bayaran dividen sehingga 15 peratus setahun kepada
ahli koperasi itu walaupun koperasi tersebut masih belum mempunyai aktiviti yang
mampu menjana pendapatan.
Sementara itu, Nabil dan Saiful Bakhri turut mengaku tidak bersalah atas
tuduhan tidak mengisytiharkan diri mereka sebagai Pengarah Syarikat CFIS Sdn
Bhd, sebuah syarikat ejen yang dilantik oleh koperasi tersebut di lokasi sama
pada 14 Jun 2008.
Nabil juga mengaku tidak bersalah bagi tuduhan menguruskan kewangan koperasi
berkenaan dengan menerima elaun sebanyak RM441,030 selama setahun empat bulan
walaupun koperasi tersebut masih belum mempunyai aktiviti yang mampu menjana
pendapatan di lokasi sama dari April 2008 hingga Julai 2009.
Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan Nabil dan Saiful Bakhri diikat jamin
RM40,000 dengan seorang penjamin manakala Md Sarip dan Lee diikat jamin sebanyak
RM20,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 8 November depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Koperasi
Malaysia Kamarulzaman Mohamad Buhari manakala tertuduh diwakili oleh peguam
Mohamed Noor Mahmud.-Bernama