06/09/2010 6:40pm
KUALA LUMPUR 6 Sept. – Syarikat QBB Pte. Ltd. masih menunggu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) memberikannya salinan sijil rekod keputusan analisis JKM bagi membolehkannya mengenal pasti “benda asing” yang didakwa terdapat dalam produk minyak sapi keluarannya.
Dengan adanya rekod itu, syarikat berkenaan boleh menggunakan khidmat pakar susu bebas untuk membantu JKM mengenal pasti bahan itu bagi menghindar kekeliruan pengguna Islam.
"Kami masih lagi menunggu maklum balas Jakim (mengenai perkara ini),” kata Pengarahnya, Lim Peck Bin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau juga menafikan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada 2 September lepas bahawa Jakim menarik balik sijil halal produk minyak sapinya kerana mengandungi elemen meragukan.
Sambil menegaskan minyak sapi keluaran syarikat itu halal dan tidak mempunyai bahan meragukan, Peck Bin menjelaskan, Jakim sebenarnya tidak dapat mengenal pasti bahan yang ditermakan sebagai “benda asing” dan tidak pernah membuat kenyataan bahan itu tidak boleh dimakan oleh orang Islam.
Beliau berkata, produk keluaran syarikat itu mendapat kelulusan sijil halal daripada Islamic Coordinating Council of Victoria, iaitu pertubuhan yang mengeluarkan sijil halal yang diiktiraf oleh Jakim.
Bagaimanapun, Jakim menarik balik Sijil Pengesahan Halal (SPH) kerana analisis Jakim yang dijalankan oleh JKM tidak dapat mengenal pasti kandungan kecil yang kemudiannya ditermakan sebagai “benda asing”. – Bernama