TINGGAL KENANGAN...Rohmah bersama suaminya, Omar Yaakob sedih dengan kematian cucunya.Kejadian jam 10.30 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Norhafizi Rosli, 19, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat.
Kemalangan itu turut mengakibatkan rakannya, Adi Mat Jad, 29, cedera di kepala dan lutut kanan serta menerima rawatan lanjut di hospital sama.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang baru selesai menunaikan solat Tarawih di kampungnya pulang ke rumah seperti biasa dan dilihat keluar semula oleh ahli keluarganya tanpa diketahui hala tujunya dengan menaiki sebuah motosikal.
Bagaimanapun, selepas setengah jam bertolak, keluarganya dimaklumkan mengenai kemalangan berkenaan dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat mayatnya yang terbujur di jalan terbabit sebelum dibawa ke hospital pada jam 11 malam.
Berdasarkan kepada keterangan Adi yang juga rakan mangsa yang selamat, mereka dalam perjalanan untuk makan ‘rojak colek’ di gerai berdekatan kerana teringin merasainya dan hanya dijual pada Ramadan terutama selepas selesai solat Tarawih.
Menurut nenek mangsa, Rohmah Mahmod, 58, cucunya itu kali terakhir dilihat meninggalkan rumah dengan menaiki motosikal pada malam kejadian selepas menunaikan solat Tarawih berjemaah di surau berdekatan kampungnya.
“Malam itu saya nampak dia (Mohd Norhafizi) keluar rumah, tapi tidak bertanya lanjut ke mana arah tujunya. Benda itu (keluar rumah) sudah menjadi perkara biasa anak muda sepertinya termasuk berjumpa rakan sekampung.
“Apa yang saya tahu, cucu baru saja selesai menunaikan solat Tarawih berjemaah dan pulang ke rumah seperti biasa pada malam kejadian,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Bukit, dekat sini, semalam.
Rohmah berkata, arwah cucunya juga dilihat berperangai pelik kerana bergurau secara berlebihan dengan sepupunya sejak kebelakangan ini berbanding perwatakannya yang agak pendiam.
“Gurauan itu diperhatikan ahli keluarganya, ketika Mohd Norhafizi berada di rumah ibu saudaranya, Hasni Omar, 38. Ketika itu memang sudah nampak kelainan perwatakannya, namun tidak menyangka menjadi petanda untuk meninggalkan kami selamanya,” katanya sebak dengan kejadian menimpa cucunya itu.
“Perkara itu diberitahu Hasni pada malam sebelum dia keluar menunaikan solat Isyak dan Tarawih di sebuah surau di kawasan kampung berkenaan, pada jam 8.30 malam,” katanya sebak dengan kejadian menimpa cucunya itu.
Dia berkata, Mohd Norhafizi dipelihara ibu saudaranya itu selepas ibu kandungnya meninggal dunia ketika usianya mencecah lima tahun.
Katanya, kejadian hanya diketahui selepas dimaklumkan ahli keluarga terdekat yang menghubungi keluarganya menerusi telefon bimbit menyebabkan mereka bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan mangsa.
“Sejurus selepas itu, ahli keluarga ke HPM untuk menuntut mayatnya yang dihantar untuk bedah siasat di hospital itu,” katanya.
Rohmah berkata, Mohd Norhafizi juga sering datang ke rumahnya pada setiap malam sebaik pulang dari tempat kerjanya di sebuah kedai menjual anak pokok di Pasir Mas, sejak sebulan lalu.
Katanya, keluarga tidak menyangka sama sekali kemalangan itu berlaku dan reda dengan kejadian menimpa cucunya itu.
Jenazah Mohd Norhafizi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Tanjong Erat, Lubok Setol, jam 11 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.
Katanya, kemalangan itu berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa bersama rakannya dirempuh sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan dari Panglima Bayu ke Rantau Panjang selepas membuat pusingan U.
“Akibatnya, Mohd Norhafizi cedera di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala rakannya, Adi, cedera di lutut kanan dan kepala menerima rawatan lanjut di HPM,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti jenis kenderaan yang melanggar mangsa, kerana tiada laporan dibuat berhubung kemalangan itu.
Katanya, orang ramai atau saksi melihat kejadian itu diminta menghubungi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 09-7908222.