12/08/2010 8:21pm
KOTA BHARU 12 Ogos – Mayat seorang bayi yang belum dikenal pasti jantina ditemui di dalam lubang kumbahan najis di belakang hostel sebuah kolej di Jeli di sini hari ini, kira-kira pukul 5 petang tadi. – Utusan
KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang pemandu kereta jenis Honda bernombor pendaftaran LB 9385 yang terbabit dalam kes langgar lari di Jalan Ipoh, petang kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Faizul Zakaria adalah seorang anggota tentera dari Kem Batu Kentonmen cedera parah. Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125 dilanggar pemandu kereta terbabit. “Ketika kejadian, mangsa dari pusat bandar menuju ke Tesco Selayang dan dilanggar dari belakang pemandu kereta terbabit yang dipercayai memandu laju ketika kejadian. “Bagaimanapun pemandu kereta itu tidak memberhentikan kenderaan malah terus melarikan diri,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam. Menurutnya, mangsa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat agar tampil membuat laporan polis. “Kami sedang memburu pemandu kereta berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes ini. “Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan raya 1987,” katanya. Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal yang menentang arus maut apabila bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kepong.: Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa Rahmat Samat, 24, gagal mengawal serta mengelak motosikalnya lalu merempuh kereta terbabit. Mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. |
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tiga lelaki dalam dua kes bunuh berasingan. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan semakan dan rayuan ketiga-tiga tertuduh dalam satu keputusan sebulat suara. Panel itu dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff. Dalam kes pertama, seorang nelayan, Abdul Razak Dalek gagal dalam usaha terakhirnya mengelak ke tali gantung apabila korum berkenaan menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan 4 Jun lalu yang mengesahkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya kerana membunuh isterinya dengan mengelar leher mangsa selepas wanita itu menafikan haknya sebagai seorang suami. Panel itu menerima bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang berhujah Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan. Abdul Razak, 58, disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, di rumah abangnya, di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar, 3 September 2001 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lalu. Dalam kes kedua, korum sama mengesahkan sabitan dan hukuman mati terhadap Mahadzir Yusof, 27, dan Mohd Anuar Mat Ripin, 26, kerana membunuh Azley Abu Bakar, 27, di tepi Jalan Pisang Raja Udang, Desa Harmoni, Kluang, Johor, antara jam 2 pagi dan 4.30 pagi, 18 Disember 2002. Hakim Alauddin memutuskan rayuan tidak mempunyai merit. Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati Mahkamah Tinggi Muar pada 19 Mac 2008, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 24 Ogos tahun lalu. |
Tawiyah Zurmuti, 59, yang menceritakan saat-saat terakhir bersama anak bongsunya, Mohd Hafizin Basiran, 20, berkata, kejadian yang berlaku begitu menyayat hati. Dia tidak mampu berbuat apa-apa setelah traktor yang dipandu arwah secara tiba-tiba terbalik disebabkan keadaan tebing jalan yang lembut. Menurutnya, arwah pada mulanya cuba membawa traktor yang tersangkut dek kerana bebanan kelapa sawit tetapi percubaan yang dilakukan itu menyebabkan kenderaan itu terbalik dan terus menghempapnya. “Arwah masa itu cuba keluarkan diri tetapi gagal kerana tersepit di bawah traktor dan saya lihat dia menangis sekuat hati. “Saya ajarkan dia mengucap dan saya azan sekuat hati serta bersyahadah selepas melihat mukanya berubah menjadi pucat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit 7, Kampung Sungai Pergam, di sini, semalam. Kata Tawiyah, selepas melihat arwah semakin pucat, dia terus mendapatkan bantuan daripada jiran yang berhampiran dengan ladang sawitnya. Menurutnya, arwah memang seorang yang rajin dan dia bersama suami sering membantunya memungut buah kelapa sawit termasuk pada hari kejadian. Menurutnya, pada kebiasaan arwah akan pergi dahulu bersama suaminya dan dia sendiri akan datang lewat sedikit selepas menguruskan kerja-kerja rumah. Sebelum kejadian Tawiyah ada terkenangkan arwah tentang puasa dan mahu bersahur bersama-sama tetapi rupanya hajat mereka sekeluarga tidak kesampaian. Bapa mangsa, Basiran Mat Tamin, 70, berkata, pemergian arwah begitu dirasai memandangkan mereka tinggal bertiga di rumah dan apabila sakit, arwah akan menghantarnya ke klinik atau hospital. Menurutnya, sebelum kejadian itu arwah pernah memberitahu mereka untuk membina rumah kecil dan menyangka ia gurauan atau memang arwah mahu membinanya di dalam ladang tetapi rupanya ia adalah petanda pemergiannya. “Arwah anak yang sangat baik dan dia telah curahkan kasih sayangnya kepada kami tetapi Tuhan telah tentukan sampai di sini sahaja kami dapat merasainya. “Ramadan kali ini begitu sunyi buat kami yang sudah biasa dengan telatah dan senyum tawanya apabila berada di rumah,” katanya. Sementara itu, rakan yang membantu mengeluarkan mangsa, Yusfarizal Mohd Yusof, 30, berkata, ketika kejadian dia berada di bengkel yang tidak jauh daripada tempat kejadian dan terdengar jeritan ibu mangsa meminta tolong. Menurutnya, selepas dimaklumkan kejadian berkenaan, dia terus bergegas membawa kayu untuk membantu mangsa yang tersepit. Katanya, sampai di tempat kejadian, mangsa sudah tidak bernyawa dengan keadaan muka dan badannya kebiruan serta mulutnya mengeluarkan buih. Kata Yusfarizal, dengan bantuan seorang lagi rakan yang juga pakciknya, Samrin Siun, 38, mangsa berjaya dikeluarkan selepas traktor dituil menggunakan kayu yang dibawa tadi. “Sebelum meninggal saya nampak arwah menaiki traktor mengelilingi kampung sebanyak dua kali dan hanya tersenyum sahaja,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu. Beliau berkata, kejadian berlaku jam 1.35 petang ketika mangsa dari arah Perak River menuju ke Sungai Pergam. Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terhimpit traktor yang dipandunya dan siasatan polis mendapati tiada kaitan unsur jenayah. Beliau berkata, berdasarkan bedah siasat, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian abdomen. |
Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Noor berkata, mangsa, Lee Chong Huan, 22 beralamat di Kampung Tras Raub bersama seorang rakan dalam perjalanan dari Raub menuju ke Kuala Lumpur. Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian yang agak berbukit mangsa yang memandu kereta Wira dipercayai gagal mengawal kenderaan hingga terlanggar sebuah lori tangki membawa muatan asid yang berada di hadapan “Mangsa dikatakan tersepit di bahagian pemandu hingga menyebabkan bantuan anggota bomba dan penyelamat diperlukan untuk mengeluarkan mangsa. “Manakala rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan,” katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata, mayat mangsa di bawa menaiki kenderaan polis untuk di bedah siasat sebelum dituntut keluarga mangsa. Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan yang berlaku namun bahagian belakang lori yang dipandunya hanya mengalami kerosakan kecil. “Susulan kejadian yang berlaku, pengguna lebuh raya diingatkan supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan terutama ketika hendak mendaki dan menuruni bukit. Dalam masa sama pastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya. |