2010/08/09
TAIPING: Seramai 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping (TTPT) atau lebih dikenali Pusat Tahanan Kamunting akan dipindahkan ke blok bangunan baru yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini. Timbalan Pengarah Keselamatan, Jabatan Penjara Malaysia, Supri Hashim, berkata dua blok bangunan dua tingkat itu, masing-masing mempunyai 40 sel yang boleh menempatkan 120 tahanan dengan tiga tahanan bagi setiap sel.
“Pada masa ini, kita sedang menjalankan pemeriksaan bagi memastikan blok baru ini memenuhi spesifikasi keselamatan, selain memasukkan bekalan elektrik.“Blok bangunan baru ini akan memberikan lebih keselesaan kepada tahanan, berbanding bangunan lama yang berusia 37 tahun yang menempatkan bilik (dorm) dan memuatkan 20 tahanan bagi setiap bilik," katanya pada sesi taklimat kepada media di TTPT, di sini, semalam.
Kira-kira 30 wakil media dan kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyertai lawatan sehari ke sini bagi tujuan mengeratkan hubungan media dengan KDN dan Jabatan Penjara.
Supri berkata, jumlah tahanan di TTPT sehingga semalam adalah seramai 274 orang, termasuk tahanan ISA, masing-masing enam tahanan dipercayai terbabit dalam gerakan Jemaah Islamiah (JI) dan aktiviti penyeludupan manusia, lapan tahanan di bawah Ordinan Darurat dan 254 banduan prabebas.
"Secara keseluruhannya, seramai 134 tahanan adalah rakyat Malaysia, sementara 120 lagi rakyat asing. Bagi ISA, seramai enam tahanan adalah rakyat Malaysia, sementara enam lagi rakyat asing masing-masing seorang dari Indonesia dan Singapura, serta empat dari Sri Lanka," katanya.