KUALA LUMPUR: Luarannya sama seperti pusat hiburan lain tetapi di dalam, bukan setakat GRO berpeleseran, malah puluhan wanita pemuas nafsu berpakaian seksi turut disediakan.
Siapa sangka, asalkan ada ruang mendapat untung lebih, khidmat wanita pemuas nafsu kini bukan saja ditawarkan di pusat urut, spa dan karaoke eksklusif, malah pusat hiburan berstatus pub menggunakan nama kafe itu turut menyediakan khidmat ekstra.
Mengejutkan apabila khidmat ekstra itu tidak ditawarkan secara sembunyi, sebaliknya terbuka untuk sesiapa saja yang berkunjung ke ‘kafe berahi’ itu.
Rahsia pusat hiburan itu terbongkar selepas wartawan Metro Ahad berkunjung ke situ sebaik mendapat maklumat daripada sumber. Sebaik duduk di kerusi disediakan, dakwaan sumber bahawa pusat itu ‘lain daripada yang lain’ terbukti benar.
Berdasarkan pemantauan, sekurang-kurangnya lima lelaki bertugas umpama bapa ayam atau kapten seperti di spa eksklusif lengkap dengan peralatan waklie-talkie ke hulu hilir mendekati pengunjung.
Tanpa kecurigaan, seorang lelaki terbabit yang mendekati wartawan menawarkan sekurang-kurangnya 30 wanita yang boleh dilanggan dengan harga antara RM360 hingga RM150 bergantung kepada ‘kemahiran’ dimiliki wanita terbabit.
Pada masa sama lelaki itu memberitahu, GRO juga boleh dilanggan untuk ‘geli-geli’ dengan harga RM20 saja. Namun, lelaki terbabit lebih cenderung mempromosi wanita pemuas nafsu.
Bagi meyakinkan pelanggan, berulang kali lelaki itu bercakap besar memberitahu tidak perlu bimbang kerana mendakwa pusat hiburan itu ‘kebal’.
Berikut perbualan wartawan (W) dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Jimi (J) itu.
J: Hello kawan, selamat berkenalan (bersalaman dengan wartawan sambil menghulur kad).
W: Thank you (terima kasih)
J: Apa macam, ada baikkah? You memang untung datang sini.
W: Kenapa?
J: Sini ada amoi.
W: Amoi apa? GRO biasalah, mana-mana pub pun ada.
J: Bukan GRO maaa... Kita ada amoi boleh bagi seks punya.
W: You gila apa, ini macam punya tempat, boleh kasi amoi.
J: Yalah... itu pasal saya kata tadi you untung. Tempat lain mana ada.
W: You kasi amoi, mana mahu projek? Takkan projek di sini.
J: Kita ada tempat maa... bangunan sebelah saja. Ada bilik, bilik air... boleh mandi.
W: Betulkah? Kasi tunjuklah itu amoi.
J: Boleh... boleh, you mahu tengok dulu tak ada hal punya. Boleh fikir mana satu mahu. Kita ada dekat 30 perempuan. China, Vietnam dan Thailand. Saya ada ‘special’ punya untuk you.
W: Apa ‘special’?
J: Kalau mahu special, RM360. Itu amoi boleh buat ‘empat servis’ sekali gus. Apa you mahu buat semua boleh. Kalau you mahu, kita kasi satu jam setengah punya servis.
W: Mahal sangat la. Tak mahulah itu macam. Biasa punyalah.
J: Biasa punya pun ada. RM150, 45 minit.
W: Sini selamat kah?
J: You jangan risau. Sudah ‘settle’ punya.
W: Ok... ok, kasi keluar itu amoi.
Dalam tempoh beberapa minit, muncul sekurang-kurangnya 20 wanita berpakaian seksi berbaris di depan wartawan. Seperti diberitahu, hanya wanita China, Vietnam dan Thailand ditawarkan, tiada wanita tempatan.
J: Ini semua RM150 punya (sambil menyuluh wajah wanita yang berbaris kerana suasana gelap). Pilih mana you suka.
Bagi membuktikan pusat itu benar-benar menyediakan khidmat seks, wartawan terpaksa berlakon dan melanggan seorang daripada wanita terbabit bagi mengetahui lokasi yang dijadikan tempat pemuas nafsu.
W: Oklah, saya ambil itu baju putih PRC (warga China) punya.
J: Kasi wang dulu, nanti itu amoi bawa you pergi bilik.
Selepas membayar, wartawan dibawa keluar melalui pintu belakang yang hanya ditutup menggunakan tirai hitam.
Berdasarkan pemantauan, dua orang berpakaian hitam ala ‘bodyguard’ mengawal lorong belakang bangunan itu. Wanita yang dilanggan membawa wartawan ke bangunan bersebelahan pusat hiburan itu.
Di pintu bangunan itu, seorang lelaki menjaga tempat berkenaan. Dia memandang wartawan sebelum membenarkan masuk.
Di dalam bangunan itu ada sekurang-kurangnya tujuh bilik. Ia dilengkapi pendingin hawa, tilam dan bilik mandi kecil.
Dalam pada itu, lelaki yang ditemui di pintu masuk berjumpa dan menyatakan sesuatu kepada wanita terbabit sebelum menawarkan kondom berharga RM1.
Selepas terbukti wujud aktiviti pelacuran, wartawan membuat helah untuk keluar dari bilik itu. Dengan menggunakan alasan sakit perut dan mahu ke tandas, wartawan segera beredar.
Dalam pada itu, seorang pengunjung yang ditemui memberitahu, pusat itu pernah diserbu pihak berkuasa, namun beroperasi semula.
“Sudah beberapa kali saya ke sini. Tujuannya untuk berhibur sambil memuaskan nafsu. Selepas minum, mabuk boleh ‘order’ perempuan. Pub lain mana ada,” katanya.
Metro Ahad difahamkan, pusat itu dibuka seawal jam 5 petang, namun meriah sekitar jam 10 malam kerana ketika itu GRO mula berpeleseran, termasuk kemunculan wanita pemuas nafsu yang ditawarkan.
Pusat itu hanya ditutup selepas tiada pelanggan dan tidak hairan setakat jam 3 pagi, ia masih meriah.