MELAKA: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila bahagian belakang lori membawa bekas telur ayam yang dipandunya itu tiba-tiba terbakar di Jalan Bertam Ulu, Sungai Udang, dekat sini, malam kelmarin.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia secara kebetulan berada di belakang lori berkenaan dan menyedari kepulan asap pada belakang kenderaan itu lalu memotongnya sambil membunyikan hon untuk memberi isyarat.
Menurutnya, beberapa pemandu kenderaan lain yang melihat kepulan asap terbabit turut membunyikan hon dengan kuat kerana lelaki berkenaan seolah-olah tidak menyedari keadaan itu.
Tidak lama kemudian, lelaki berkenaan memberhentikan lori terbabit di bahu jalan lalu turun untuk melihat apa yang berlaku.
Dia kemudian cuba memadamkan api dengan mengeluarkan bekas telur ayam itu bagi mengelak api bertambah marak.
Bagaimanapun, keadaan tidak banyak membantu kerana api mula membakar kebanyakan bekas telur itu, menyebabkan asap berkepul-kepul sebelum sepasukan anggota bomba tiba untuk memadam kebakaran, katanya ketika ditemui, di sini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Tahir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 7.45 malam dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan Ayer Keroh dengan kekuatan 13 anggota bergegas ke tempat kejadian dan api berjaya dipadam dalam tempoh 15 minit.
Katanya, kebakaran lori berkenaan dipercayai bermula dari bahagian belakang, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pemandu berjaya menyelamatkan diri selepas terhidu bau asap.
Pada masa ini, siasatan masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kebakaran itu, katanya.
Sumber : Harian Metro