Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
KLANG 27 Mei - Seorang kerani bank didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan laman web lucah secara komersial melalui Internet pada Jun tahun lalu.
Hakim Slamat Yahya turut memerintahkan Tajulzairi Tajuddin, 31, dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Tajulzairi merupakan individu pertama yang disaman dan disabitkan mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Lelaki itu dituduh menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet dengan alamat protokol Internet (IP) 112.137.152.108 di laman web
http://www.wanitamelayu2u.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Aras 1, Jabatan Kawalselia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melalui Persiaran Multimedia, Cyberjaya dekat sini pada pukul 5 petang, 10 Jun 2009.
Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Pengarah Jabatan Kawalselia Kandungan SKMM, Enang Faridah Iskandar membuat laporan kepada Jabatan Siasatan SKMM ke atas satu laman web
http://wanitamelayu2u.com/login yang dikatakan mengandungi kandungan sumbang, lucah dan tidak menyenangkan pada 2 Jun tahun lalu.
Lapan hari kemudian, seorang pegawai SKMM menyamar dengan mendaftar di laman web http://wanitamelayu2u.com sebagai ahli VIP selama enam bulan dengan bayaran RM30.
Dia membuat pembayaran seperti arahan di dalam laman web tersebut melalui perbankan Internet dan mendapati akaun tersebut dimiliki oleh Tajulzairi dan e-mel penerima adalah
wanitamelayu2u@yahoo.com.
Siasatan juga mendapati laman web http://wanitamelayu2u.com dengan alamat IP 112.137.162.108 yang menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet itu dikendalikan oleh Tajulzairi.
Pada 16 Jun 2009, serbuan dan sitaan telah dibuat ke atas peralatan-peralatan komunikasi berkaitan dan hasil analisis menunjukkan terdapat kandungan imej dan video lucah dalam laman web tersebut.
Terdahulu, Tajulzairi yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia telah insaf serta mengaku melakukan perbuatan tersebut disebabkan kejahilannya.
Dia juga memberi alasan tidak mampu menjelaskan denda yang tinggi kerana berpendapatan rendah selain menanggung dua anaknya yang masih kecil.
Pengarah Jabatan Pendakwaan SKMM, Badius Zaman Ahmad pula memohon agar mahkamah mengambil kira perbuatan Tajulzairi yang menyalahgunakan Internet dengan membekalkan perisian lucah kepada orang ramai.
Kata beliau, lelaki itu telah mengaut keuntungan secara haram melalui perbuatan tersebut dengan jumlah pelanggan mencecah 100 orang sebelum laman web itu ditahan operasinya.
Jelasnya, perbuatan tertuduh juga satu kesalahan yang serius kerana ia turut menyumbang kepada peningkatan statistik jenayah seksual.
Badius Zaman turut memaklumkan bahawa hukuman yang bakal dijatuhkan akan menjadi kayu pengukur kerana Tajulzairi merupakan individu pertama yang didakwa dan disabitkan atas kesalahan tersebut.