Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my
 |
SAPIAH Md. Elah (kanan) bersama Mohd. Firdaus Marsani menunjukkan laporan polis dan gambar arwah, Mohd. Afham Arin yang mati ditembak di Johor Bahru, semalam.
|
JOHOR BAHRU 24 Mei – Seorang ibu meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat punca sebenar kematian anaknya, Mohd. Afham Arin, 18, yang ditembak polis dalam satu kejadian pada 20 Oktober tahun lalu.
Sapiah Md. Elah, 52, yang melahirkan rasa tidak puas hati mendakwa, polis tidak pernah memberi penjelasan sebenar mengenai kematian anaknya itu yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.
Katanya, dia hanya diberitahu bahawa Mohd. Afham terlibat dengan jenayah ragut dan seorang lagi rakan anaknya disyaki menyerang polis menggunakan parang.
“Saya tidak berpuas hati kerana polis cuba menipu saya dengan mengatakan anak saya masih hidup apabila saya tiba di Balai Polis Seri Alam sedangkan anak saya sudah meninggal dunia akibat ditembak polis pada awal pagi 20 Oktober lalu.
“Saya juga amat kesal kerana terpaksa menunggu lama untuk berjumpa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan menuntut jenazah anak di Hospital Sultanah Aminah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sapiah berkata, Mohd. Afham merupakan pelajar Kolej Komuniti Ledang dan tinggal di rumah kakaknya di Taman Daya di sini kerana ingin mengikuti latihan industri di Pasir Gudang.
Dia meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius perkara itu dan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mencari punca sebenar kematian dan membersihkan nama anaknya kerana Mohd. Afham didakwa terlibat dengan 25 kes samun.
Berdasarkan laporan akhbar, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam di Taman Johor Jaya itu, Mohd. Afham yang menunggang sebuah motosikal bersama rakannya, Mohd. Firdaus Marsani, 19, dikejar anggota polis kira-kira 15 kilometer kerana disyaki melakukan samun.
Sejurus polis menghampiri suspek, pembonceng dikatakan bertindak melibaskan parang ke arah anggota terbabit dan kemudian polis melepaskan tembakan dan mengenai mangsa.
Mohd. Afham mati di tempat kejadian, manakala Mohd. Firdaus melarikan diri.
Sementara itu, Mohd. Firdaus pada sidang akhbar tersebut berkata, pada malam kejadian, mereka keluar makan malam sebelum Mohd. Afham mengajak dia ke rumah kakaknya di Taman Daya untuk mengambil pakaian kerja kira-kira pukul 8.30 malam.
“Dalam perjalanan itu, kami dihampiri tiga motosikal yang dinaiki tiga lelaki yang tidak dikenali dan seorang daripadanya menjerit ‘polis’ dan cuba menghalang motosikal kami.
“Mereka berpakaian biasa dan tidak menunjukkan kad kuasa polis menyebabkan kami beranggapan mereka penjenayah. Akibat terlalu takut, Mohd. Afham terus memecut motosikal ke arah Pasir Gudang,” katanya.
Kira-kira 30 minit dikejar, dia terdengar satu das tembakan dari arah belakang dan dia terus mengangkat tangan sebagai tanda menyerah diri.
Kemudian, dia mendakwa terdengar satu lagi tembakan menyebabkan mereka terjatuh dan ketika itu disusuli satu lagi das tembakan sebelum seorang lelaki mengacukan pistol ke arahnya.
“Saya berdiri dan mengangkat tangan dan pada masa sama turut mengundur beberapa langkah lalu terjatuh ke dalam semak yang bercerun sekali gus berjaya melarikan diri.
“Keesokan harinya, saya menerima berita kematian Mohd. Afham yang ditembak polis kerana disyaki sebagai perompak,” katanya yang kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Mohd. Firdaus mendakwa pihak polis cuai semasa menjalankan tugas dan menggesa mereka memberikan laporan sebenar mengenai kejadian tersebut.