Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my
 |
KESAN daripada kejadian banjir Sabtu lalu terutama sampah-sarap dan becak masih dapat dilihat di Kampung Melayu Subang. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
|
SUBANG 3 Mei - Isu banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan di Shah Alam bukanlah perkara baru.
Kisah lebih 10,000 penduduk di Taman TTDI Jaya dan Kampung Kebun Bunga ditenggelami banjir kira-kira empat tahun lalu masih segar dalam ingatan.
Atas usaha pihak kerajaan negeri ketika itu dan pihak berkuasa tempatan, beberapa langkah diambil bagi mengatasi masalah itu dan mengelak daripada berulang.
Ia termasuklah projek tebatan banjir, menaik taraf sistem aliran longkang selain melebar dan mendalamkan sungai.
Bagaimanapun, banjir kilat yang berlaku pada Sabtu minggu lalu di Kampung Melayu Subang begitu meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk dan dianggap paling buruk sejak kampung itu dibuka sejak lebih empat dekad lalu.
Dalam kejadian itu, lebih 500 rumah penduduk terjejas apabila hujan lebat bermula pukul 2 pagi menyebabkan air Sungai Damansara melimpah.
Kejadian itu mengakibatkan kemusnahan harta-benda penduduk dengan kerugian didakwa mencecah jutaan ringgit.
Penduduk mendakwa mereka tidak sempat menyelamatkan sebahagian besar harta benda kerana air naik secara mendadak dalam tempoh 10 minit sahaja.
Turut rosak ialah berpuluh-puluh kenderaan penduduk yang diletakkan di perkarangan kediaman masing-masing.
Paling menjadi tanda tanya penduduk ialah apabila siren amaran banjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak berfungsi.
Tinjauan
Utusan Malaysia ke lokasi berkenaan mendapati kebanyakan penduduk masih terkejut dan diibaratkan baru terjaga dari mimpi ngeri walaupun kejadian itu sudah lebih seminggu berlalu.
Kesan akibat banjir itu juga masih jelas kelihatan di sana sini. Selain barangan rumah seperti kerusi, meja, karpet yang dilihat masih dijemur, perkarangan penduduk juga masih digenangi air.
Malah, kesan paras air yang naik itu masih terdapat pada dinding rumah penduduk.
Banyak persoalan ditimbulkan penduduk dan mereka berpendapat, banjir kilat itu boleh dipastikan tidak akan berulang sekiranya beberapa perkara yang menjadi punca banjir itu diatasi pihak bertanggungjawab terutama kerajaan negeri.
Penduduk menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang di luar dugaan terutama keadaan hujan pada hari kejadian yang dikatakan tidak seperti sebelumnya.
Selain daripada kesan pembangunan yang sedang pesat di kiri kanan kawasan berhampiran, keadaan Sungai Damansara yang tidak lagi dapat menampung jumlah kapasiti air yang banyak dilihat sebagai penyumbang utama kepada kejadian tersebut.
Selain tidak diselenggarakan dengan baik, kerja-kerja melebarkan sungai dan membina benteng yang sebelum ini dijanjikan tetapi gagal disiapkan turut menyumbang kepada kejadian itu.
Tinjauan mendapati kurang 30 meter benteng itu disiapkan, manakala di kawasan selebihnya, berlaku runtuhan tebing yang teruk.
Lebih membimbangkan keselamatan lebih 10 buah keluarga yang tinggal berhampiran tebing sungai berkenaan.
Banjir itu juga dikatakan berpunca daripada wujudnya paip yang melintasi sungai sekali gus mewujudkan halangan dan memerangkap sampah.
Turut menjadi penyumbang ialah pembuangan sampah-sarap secara haram di sepanjang sungai tersebut dan kewujudan semak-samun di sepanjang sungai yang melambatkan aliran air jika sungai itu penuh.
Penduduk juga mendakwa, sistem saliran dan perparitan yang tidak betul di kawasan berkenaan juga memburukkan lagi masalah itu.
Tinjauan mendapati, keadaan longkang cukup menjijikkan dan dipenuhi sampah sarap dan botol-botol kosong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr. Mohd Nasir Hashim turut turun padang meninjau kawasan sungai bersama wakil JPS selepas kejadian.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, tiada pihak yang memaklumkan tindakan terbaru diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut kepada penduduk, apatah lagi tentang bantuan bencana alam yang dijanjikan.