SALAH seorang keluarga penumpang pesawat Lufthansa yang berlepas dari lapangan terbang di Duesseldorf, Jermanke Chicago mengangkat tangan ke arah pesawat itu sebagai tanda kejayaan setelah penerbangan itu ditunda beberapa kali berikutan penutupan ruang angkasa di Eropah. - AFP |
KUALA LUMPUR 21 April - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan industri penerbangan bakal mengalami kerugian perolehan sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) ekoran krisis gunung berapi di Iceland.
Kerugian tersebut adalah sehingga Selasa iaitu enam hari selepas letusan awal gunung berapi tersebut.
Untuk tempoh tiga hari, 17 hingga 19 April, kerugian perolehan yang dicatatkan adalah kira-kira AS$400 juta (RM1.28 bilion) sehari.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Giovanni Bisignani berkata, kerugian perolehan sebanyak AS$1.7 bilion (RM3.52 bilion) itu adalah kepada syarikat-syarikat penerbangan sahaja.
''Paling teruk, krisis tersebut telah memberi kesan sebanyak 29 peratus kepada penerbangan global dan 1.2 juta penumpang sehari. Skala krisis tersebut telah melebihi tragedi serangan pengganas 11 September apabila ruang udara Amerika Syarikat (AS) ditutup selama tiga hari,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
IATA turut merekodkan penjimatan kos akibat penggantungan penerbangan tersebut, sebagai contoh pengurangan sebanyak AS$110 juta (RM352 juta) daripada kos bahan bakar sehari berbanding hari biasa.
Tetapi syarikat-syarikat penerbangan turut menanggung kos tambahan termasuk penjagaan penumpang.
''Bagi industri yang kerugian sebanyak AS$9.4 bilion (RM30.08 bilion) tahun lalu dan dijangka mengalami pertambahan kerugian sebanyak AS$2.8 bilion (RM8.96 bilion) lagi pada tahun ini. Krisis ini adalah terburuk.
''Ia memburukkan keadaan syarikat-syarikat penerbangan yang berdepan dengan masalah kewangan. Syarikat-syarikat penerbangan Eropah dijangka mengalami kerugian sebanyak AS$2.2 bilion (RM7.04 bilion) pada tahun ini, yang terbesar dalam industri,'' katanya.
Tambah Bisignani, ketika IATA mengira kos krisis, persatuan itu juga perlu melihat cara untuk mengawal kesannya.
''Sebahagian daripada rakan niaga lapangan terbang telah melakukan aktiviti terbaik industri, dengan lapangan terbang Heathrow, London dan Dubai mengecualikan yuran meletak pesawat dan tidak akan mengenakan caj kepada penjadualan semula penerbangan. Lapangan terbang lain patut mencontohi mereka,'' katanya.
Bagaimanapun, Bisignani berkata, peranan penting perlu dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negara dengan mengambil kira empat permintaan yang dikemukakan oleh IATA.
Antaranya adalah melonggarkan peraturan slot lapangan terbang, menarik balik sekatan terhadap penerbangan malam dan memantau peraturan penjagaan penumpang yang tidak adil.
''Krisis ini adalah bencana alam di luar kawalan syarikat penerbangan. Syarikat insurans melihatnya begitu. Tetapi peraturan hak penumpang Eropah tidak melihatnya begitu.
''Peraturan itu tidak memberikan kelonggaran kepada situasi luar biasa dan masih menganggap syarikat penerbangan bertanggungjawab membayar hotel, makanan dan telefon. Kesatuan Eropah (EU) perlu mencari jalan mengurangkan beban itu,'' katanya.
Bisignani mengesa kerajaan-kerajaan untuk mencari jalan membayar balik kerugian perolehan yang ditanggung syarikat penerbangan.
Sebelum ini, ketika tragedi 11 September, kerajaan AS telah menyediakan AS$5 bilion (RM16 bilion) untuk membayar balik kepada syarikat penerbangan selepas penutupan lapangan terbang selama tiga hari.
EU membenarkan negara-negara Eropah untuk mengambil tindakan yang sama.