
|
MD. Hassim Pardi (tengah) menunjukkan syabu yang disorokkan di bahagian tepi beg pakaian di Ibu Pejabat KDRM Narkotik di Kampung Jijan, Nilai, semalam. - utusan/Abd Razak Aid |
SEREMBAN 12 April - Meskipun semakin hebat dibanteras pasukan penguat kuasa, penyeludupan dadah oleh warga Iran ke negara ini masih berlaku dengan pelbagai cara.
Bermacam-macam usaha dilakukan oleh sindiket penyeludupan itu untuk membawa dadah masuk menembusi kawalan keselamatan negara, namun dapat dihidu.
Terbaru, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengenal pasti taktik sindiket dadah melibatkan warga Iran ini yang menyeludup masuk dadah dalam kuantiti yang kecil iaitu antara 1 kilogram hingga 3 kilogram.
Bagi mengelak daripada mudah dikesan pihak berkuasa, taktik itu dilakukan oleh warga Iran dengan menggunakan khidmat pembawa dadah atau kurier yang ramai.
Buktinya, sepanjang empat bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 11 orang warga Iran dikesan cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini melalui kuantiti yang kecil di pintu-pintu masuk utama khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penolong Ketua Pengarah KDRM (Penguatkuasaan), Datuk Md. Hassim Pardi berkata, kejayaan terbaru ialah pada Jumaat lalu apabila seorang lelaki warga Iran ditahan di KLIA ketika cuba menyeludup masuk 1,269 gram syabu bernilai RM317,250.
"Lelaki Iran itu baru tiba dari Teheran menaiki pesawat Iran Air pada pukul 8.30 pagi. Hasil pemeriksaan terhadapnya, KDRM mengesan dua helai tuala yang direndam dalam cecair dadah jenis syabu.
"Tuala yang direndam dalam cecair dadah itu dibalut plastik lutsinar dan ditemui dalam ruang khas tepi bagasi yang dibawanya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat KDRM Narkotik di Kampung Jijan, Nilai dekat sini hari ini.
Ini merupakan kali kedua taktik yang sama digunakan oleh sindiket dadah warga Iran. Pada Disember lalu, seorang lelaki dari negara itu ditahan bersama selimut dan baju yang direndam dalam cecair yang sama.
Menurut Md. Hassim, pihaknya sudah meningkatkan kawalan terhadap kemasukan setiap rakyat Iran ke negara ini bagi mengekang usaha menyeludup dadah masuk ke Malaysia.
"Kita akan membuat pemeriksaan lengkap, termasuk setiap bagasi yang dibawa oleh setiap warga Iran," tegasnya.
Menurut beliau, lelaki Iran yang ditahan itu kini direman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Md. Hassim memberitahu, sepanjang tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan 17 kes penyeludupan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM27.2 juta.
"Ini termasuk penahanan 16 warga asing yang 11 daripadanya dari Iran. Selain itu, warga asing yang ditahan ialah masing-masing seorang dari India, Nigeria dan Pakistan serta dua dari Republik of Guinea," ujarnya.
Sepanjang empat bulan pertama tahun ini, katanya, KDRM merampas 81.6 kilogram syabu bernilai lebih RM25.6 juta. Jumlah itu didapati meningkat berbanding 28 kilogram syabu bernilai RM6.7 juta yang dirampas sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.
Md. Hassim menegaskan, kebanyakan modus operandi penyeludupan dadah syabu tahun lalu adalah menggunakan seorang pembawa dengan kuantiti yang besar iaitu antara 10 kilogram hingga 25 kilogram.
"Ahli sindiket ini biasanya menyembunyikan syabu dalam ruang khas bagasi, tin berlabel barang makanan, jaket, kulit buku selain direndam dalam selimut dan baju," katanya.