Siti Sarnan Mat Ali, 42, berkata, suaminya itu menjelaskan dia berada dalam keadaan tertekan dan telah pergi ke rumah peguam mereka, Mohd. Zaki Zainal Abidin di sini untuk mendapatkan perlindungan.
Katanya, Hussin menjelaskan dia amat tertekan dengan kejadian yang menimpa anak mereka itu dan berjanji akan pulang ke rumah ibu bapanya di Kok Lanas malam tadi dalam perbualan telefon selama 10 minit itu.
"Pada perbualan itu, saya memujuk Hussin supaya pulang ke rumah ibu bapanya untuk menenangkan fikiran dan pagi ini, saya dimaklumkan dia tidur di sana malam tadi.
"Dia ada beritahu saya, dia kini dalam keadaan tertekan dan serba salah di atas kejadian yang menimpa Situ Nur Zubaidah tetapi saya mintanya supaya lebih tenang dan banyak-banyak ingatkan Allah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, akhbar melaporkan mengenai perkahwinan Siti Nur Zubaidah dengan Shamsudin Che Deraman, 41, atau lebih dikenali dengan 'Shamsudin Ajaib' yang juga pemimpin kumpulan tabligh pada 20 Februari lalu.
Pernikahan itu dikatakan berlaku selepas Shamsudin mempengaruhi Hussin yang juga jemaah tabligh untuk menikahkannya.
Selepas perkahwinan tersebut, Shamsudin telah menghilangkan diri bersama Siti Nur Zubaidah dan kereta Proton Iswara milik Hussin.
Bagaimanapun kanak-kanak malang itu ditemui di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera, Batu Caves, Kuala Lumpur petang Sabtu lalu.
Siti Sarnan berkata, dia kini bimbang jika suaminya melakukan perkara yang bukan-bukan kerana terlalu tertekan.
Katanya, Hussin turut berpesan supaya menjaga Siti Nur Zubaidah dengan baik selain turut mendoakan keselamatannya.
"Dia minta supaya saya jaga Zubaidah baik-baik dan buat masa sekarang biarlah dia (Hussin) tidak diganggu dan tenang bersama keluarganya.
"Saya tahu sekarang ini ramai yang menuding jari menyalahkannya. Walau apa pun, dia tetap suami saya dan bapa kepada anak-anak saya dan kami memerlukannya," kata Siti Sarnan.