KOTA KINABALU 10 Mac – Bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman hari ini didenda RM10,000 kerana gagal memaklumkan kepada pihak bank yang beliau seorang muflis ketika menjadi penjamin sebuah syarikat yang ingin membuat pinjaman 14 tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Duncan Sikodol turut memerintahkan Suhaili dikenakan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Beliau menjatuhkan hukuman itu selepas ahli politik itu mengaku bersalah atas tuduhan pilihan semalam.
Menurutnya, sebelum hukuman itu dijatuhkan, beliau telah menimbangkan beberapa perkara termasuk ia adalah kesalahan pertama Suhaili selain tertuduh itu pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fariza Hamzah manakala Suhaili diwakili peguam bela Rakbir Singh.
Suhaili yang ditemui selepas prosiding berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya mengemukakan rayuan kerana mendakwa hukuman yang diterimanya agak berat.
Semalam, beliau mengaku atas tuduhan pilihan gagal memaklumkan kepada pegawai Malayan Banking Berhad mengenai status muflisnya ketika bertindak sebagai penjamin kepada syarikat Saraequity Sdn. Bhd. pada 3 April 1996.
Pada tarikh tersebut, Saraequity mengemukakan permohonan pinjaman berjumlah RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Suhaili diisytiharkan muflis menerusi perintah mahkamah bertarikh 19 Februari 1993 yang hanya ditarik balik pada 9 Mei 1997.
Semalam, Sikodol turut melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Labuan itu daripada dua pertuduhan asal selepas pendakwa raya memaklumkan mereka tidak akan meneruskan kes berkenaan.
Pada April tahun lalu, Suhaili mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu Malayan Banking Berhad cawangan Kota Kinabalu ketika bertindak sebagai penjamin semasa membuat pinjaman RM160,000 untuk membeli sebuah apartmen pada 1996.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya dengan memperdaya pengurus bank tersebut, Ismail Jantan menggunakan nama Ahmad Suhaily Abd. Rahman yang memegang kad pengenalan bernombor H 0552182 yang dipercayai palsu.
Sehari selepas itu, Suhaili turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memberi maklumat palsu dalam satu akuan bersumpah pada 1995.
Beliau dituduh membuat kenyataan palsu tersebut dalam akuan berkanun di hadapan Jaksa Pendamai, Mohd. Naser Mohd. Noor menggunakan nama Ahmad Suhaily Abdul Rahman dengan kad pengenalan bernombor H 0552182.