Perdana Menteri Kevin Rudd berkata, Australia 'tidak akan berdiam diri berhubung masalah ini' selepas seorang wanita dan dua lelaki yang memagang pasport palsu Australia dinamakan sebagai antara 15 suspek pembunuhan gaya Perang Dingin Mahmoud al-Mabhuh.
"Jika pasport Australia digunakan atau dipalsukan oleh mana-mana negara untuk tujuan pembunuhan, ini amat membimbangkan dan kami akan menyiasat sepenuhnya berhubung isu ini.
"Kami tidak akan membiarkan walau seorang pun terlepas," kata Rudd kepada stesen penyiar awam ABC.
Menurut Rudd, pegawai Australia telah bekerja sepanjang malam selepas polis Dubai menamakan pemegang pasport Australia, Britain, Perancis dan Ireland adalah antara kumpulan suspek baru.
Polis Dubai yakin agensi perisikan Israel, Mossad melakukan pembunuhan tersebut di hotel mewah Dubai di mana Mahmoud ditemui mati di biliknya pada 20 Januari lalu.
"Senarai baru suspek ini termasuk mereka yang menawarkan bantuan pengangkutan dan persiapan pembunuh serta mereka yang memainkan peranan penting," menurut polis Emiriyah Arab Bersatu dalam satu kenyataan.
Menteri Luar, Stephen Smith yang memanggil duta Israel, Tuval Rotem untuk memberi penjelasan berkata, siasatan awal menunjukkan pasport Australia mungkin 'dipalsukan atau diubah'.
"Kami belum membuat sebarang kesimpulan, daripada siasatan awal, kelihatan terdapat penyalahgunaan serius ke atas pasport Australia, sama ada melalui pemalsuan atau penipuan identiti.
"Tetapi saya telah membuat penjelasan tegas kepada duta tersebut bahawa jika keputusan siasatan menyebabkan kita membuat kesimpulan penyalahgunaan itu ditaja atau dibiarkan oleh pegawai Israel, Australia tidak menganggapnya itu sebagai satu tindakan yang dilakukan seorang kawan," kata Smith.
Menurutnya, negara ini menjangkakan Israel akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan siasatan yang dijalankan negara ini berhubung insiden tersebut.
Kesatuan Eropah (EU) turut menyuarakan kemarahan berhubung penggunaan pasport palsu tersebut selepas senarai awal seramai 11 orang, termasuk wanita dikeluarkan. Duta Israel di empat negara EU telah dipanggil untuk memberi penjelasan. - AFP