Penolong Penguasa SPRM didakwa setuju terima rasuah RM250,000
|
M.MOHAN (kiri) menutup mukanya ketika berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam, selepas dituduh meminta dan bersetuju menerima suapan RM250,000. |
SHAH ALAM 19 Feb. - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM250,000 daripada suspek yang disiasatnya pada Oktober tahun lalu.
M. Mohan, 37, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Tertuduh yang merupakan Penolong Penguasa SPRM Selangor didakwa meminta rasuah sebanyak RM250,000 daripada A. Sinnaiah serta bersetuju menerima RM200,000 daripada lelaki tersebut.
Wang suapan itu sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Sinnaiah yang disyaki memberi rasuah kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat SPRM, Tingkat 14, Plaza Masalam, Jalan Tengku Ampuan Zabedah E9/E, Seksyen 9 di sini antara pukul 11 pagi dan 1 tengahari, 22 Oktober tahun lalu.
Bagi pertuduhan meminta rasuah, Mohan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17(a) akta yang sama bagi perbuatan bersetuju untuk menerima rasuah.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd. Asnawi Abu Hanipah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Ratha Krishnan yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh berkerjasama dengan SPRM sepanjang dia disiasat.
Kata beliau, anak guamnya yang telah berkhidmat selama 15 tahun dengan SPRM juga membiayai rawatan ibu bapanya di Institut Jantung Negara (IJN) selain menyara abang yang buta dan terencat akal.
Azhaniz Teh membenarkan Mohan dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 beserta seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya sebagai syarat jaminan.
Beliau turut menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 23 Ogos ini.