PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor pagi itu berjalan lancar. Hanya mengambil masa 45 minit. Tiada kesesakan yang dialami sekali gus membuatkan penulis sampai ke destinasi yang dituju tepat pada masanya sekitar pukul 11.30 pagi.
Panduan yang diberikan oleh pemilik Teratak Klasik, Mohd. Amir Ahmad, 50, ternyata mudah diikuti. Sebaik sampai, kami disambut dengan senyuman lebar oleh penghuni rumah istimewa itu.
"Terima kasih kerana sudi datang. Macam mana susah ke nak cari rumah saya?," terkeluar pertanyaan daripada mulut Mohd. Amir yang kemudian menjemput penulis bersama jurugambar, Asmaruddin Jamaluddin dan pemandu syarikat, Mohd. Hasbullah masuk.
CONGKAK kayu yang berusia ratusan tahun. |
Sejurus melabuhkan punggung di atas kerusi, sekali lagi persoalan dilontarkan Mohd. Amir: "Tengoklah dulu koleksi barang-barang antik yang saya ada ini."
Tanpa menunggu lebih lama, Mohd. Amir mengeluarkan beberapa koleksi peribadi peninggalan arwah bapanya, Ahmad Ali yang meninggal dunia pada usia 87 tahun, sembilan tahun lalu.
Salah satu koleksi barang antik yang istimewa ialah pisau cukur lama yang berusia hampir seratus tahun. Ini berdasarkan tarikh yang terukir di pisau cukur itu menunjukkan 1912. Menariknya ia masih elok dan berfungsi dengan baik.
PISAU cukur yang dibuat di England dan berusia 88 tahun ini masih dalam keadaan baik dan boleh berfungsi. |
Koleksi kesayangan
Menurut Mohd.Amir, pisau cukur itu merupakan antara koleksi barang paling lama yang dimiliki oleh arwah bapanya. Sehubungan itu, ia turut menjadi antara koleksi kesayangan beliau yang harus dipelihara dengan baik.
Mohd. Amir memberitahu, dia berasa amat bertuah kerana mewarisi minat arwah bapanya yang gemar mengumpul barang-barang lama untuk kepuasan diri. Jika tidak, mungkin semua barangan tersebut sudah pun dijual kepada mereka yang obses terhadap koleksi barang antik itu.
MOHD. AMIR (kiri) dan ibunya, Yan memeriksa barang kemas yang masih elok. |
Sehingga kini, Teratak Klasik telah menjadi 'tempat perlindungan' bagi ribuan barang antik yang tidak terhitung nilainya. Daripada sekecil-kecil barang hinggalah yang paling besar semuanya ada.
Berdasarkan senarai yang berjaya penulis catatkan antara barang antik yang terdapat di Teratak Klasik termasuklah lampu suluh 1923, tembikar China yang diwarisi daripada lima keturunan, gobek api, koleksi seterika lama, piring hitam dan botol susu era 40-an.
Selain itu tali pinggang lama, jam dinding, himpunan duit kertas dari dalam dan luar negara, lembing, tombak, radio zaman Jepun, dulang bijih, pengisar tepung lama, papan congkak berusia lebih seratus tahun yang diperbuat daripada kayu dan banyak lagi.
GOBEK sirih yang diwarisi turun temurun. |
Tidak ketinggalan, busana perkahwinan ibu Mohd. Amir, Yan Ali bersama bapanya yang berusia hampir 70 tahun masih elok tersimpan di dalam salah satu peti lama yang ada di ruang tamu rumah tersebut.
Ternyata baju kebaya merah jambu itu tidak lusuh ditelan masa. Menurut Yan, 81, fabriknya masih tetap sama seperti mula-mula dipakai ketika berkahwin dahulu.
"Teringat lagi masa kahwin dulu, nenek berusia 12 tahun ketika itu. Tak sangka sampai sekarang baju ini boleh lagi ditatap oleh cucu cicit nenek," ujar Yan sambil menunjukkan baju tersebut kepada cucunya, Muhammad Aifat Mohd. Amir.
ANAK kunci yang juga menjadi sebahagian daripada koleksi barang antik Teratak Klasik. |
Menurut Yan, arwah suaminya memang suka menyimpan barang antik. Sama ada arwah membelinya atau dihadiahkan oleh rakan, semua koleksi itu tidak pernah dijualnya.
Justeru, beliau bersyukur kerana hobi arwah suaminya mengalir dalam darah anak bongsunya, Mohd. Amir.
"Sekarang Amirlah yang menjaga harta peninggalan arwah ayahnya ini. Alhamdulillah, dia mampu melakukan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna," jelas Yan yang masih sihat walaupun usianya sudah lanjut.
MASIH baik. Kebaya merah jambu inilah yang dipakai oleh Yan ketika melangsungkan perkahwinannya dengan Ahmad. |
Di samping itu, Mohd. Amir turut menyimpan koleksi barang kemas milik ibunya yang mencecah usia puluhan tahun. Malah, cucuk sanggul yang dipakai ibunya ketika berkahwin juga masih terjaga dengan baik.
Paling istimewa, buku-buku pelajaran arwah ayahnya yang kebanyakan ditulis dalam bahasa Jawi sewaktu bersekolah juga masih ada sehingga sekarang. Walaupun tulisannya sedikit kabur, namun ia masih boleh dibaca.
Niat serong
TERATAK Klasik menjadi pelindung kepada barang-barang antik yang diwarisi oleh Mohd. Amir daripada bapanya, Ahmad. |
Secara tidak langsung dengan adanya buku-buku tersebut, anak-anaknya dapat mengetahui bentuk pembelajaran pada era lampau.
Bagi Muhammad Aifat, 18, dia mengakui teruja apabila melihat aneka barangan antik yang dimiliki oleh bapanya. Meskipun pada awalnya, dia sendiri kurang berminat untuk mengambil tahu tentang barangan tersebut, namun situasi mula berubah sejak empat tahun lalu.
"Ketika saya dalam tingkatan dua, tiba-tiba minat saya terhadap barang antik mula timbul. Mungkin disebabkan darah ayah yang mengalir dalam diri membuatkan ia meresap terus ke jiwa saya.
ZAINOL ABIDIN menunjukkan seterika (kanan) yang seakan-akan penyeduk air. |
"Sekarang, saya selalu membantu ayah membersihkan koleksi barang antik dan menjaganya dengan baik," tutur Muhammad Aifat.
Sementara itu, abang Mohd. Amir, Mohd. Khadri Ahmad, 54, tidak menafikan ramai individu datang berjumpa adiknya dengan niat-niat tertentu.
Jelasnya, mereka bukan setakat untuk melihat atau mahu membeli koleksi antik tersebut. Sebaliknya datang dengan niat yang tidak baik.
"Pernah ada orang yang datang mahu meminjam sebuah periuk tembaga bersaiz besar semata-mata untuk melakukan kerja menarik duit yang bertentangan dengan agama Islam.
"Bukan itu sahaja, koleksi jam kuda terbang beliau turut menarik perhatian kaki judi untuk digunakan bagi meramal nombor ekor yang akan menang keesokan harinya," terang Mohd. Khadri sambil menggelengkan kepala mengenangkan peristiwa tersebut.
Tetapi, Mohd. Amir mempunyai pendirian tersendiri. Dia tidak mahu bersubahat dengan perkara syirik itu.
Sambil melawak Mohd. Amir berkata: "Nanti kalau duit tak dapat, periuk saya pula yang menjadi mangsa. Manalah tahu mereka akan menyepak atau membuangnya kerana geram apa yang diinginkan tidak tertunai. Saya juga yang rugi." Bagi yang menggemari barangan antik, mereka pasti akan berusaha dengan apa cara sekali pun untuk mendapatkan koleksi yang diingini.
Begitu juga dengan Mohd. Amir. Tetapi, apabila sesuatu barang itu sudah dimiliki, maka anda jangan berharap akan dapat memujuknya untuk menjual koleksi yang ada.
"Semua barangan antik saya bukan untuk dijual. Letaklah berapa harga sekali pun, saya tidak akan sesekali melepaskannya. Ia mempunyai nilai tersendiri.
"Bagi saya, kepuasan amat dirasai apabila berjaya mendapatkan barang yang disukai. Justeru, saya akan menjaganya dengan baik seperti menjaga nyawa sendiri," ujar Mohd. Amir.
Sementara itu, kepada mereka yang berminat mendapatkan barang-barang antik anda boleh melawat Pasar Anika atau lebih dikenali sebagai Rope Walk di Taman Selat, Butterworth, Pulau Pinang.
Pasar itu menjual pelbagai jenis barangan termasuk barangan antik yang jarang ditemui.
Menurut pengumpul dan penjual barang-barang antik, Zainol Abidin, 68, memberitahu seterika yang seakan-akan penyeduk air dan seterika antik yang dijual di pasar itu pada harga di antara RM65 hingga RM90 mengikut saiz, bentuk dan berat seterika berkenaan.
"Seterika antik seakan-akan penyeduk air yang menggunakan arang batu ini berusia lebih 100 tahun. Seterika buatan China ini dijual pada harga RM200," katanya.