Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Warga Peru dituduh perdaya wanita tempatan


05/12/2010 5:26pm

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 13 Januari tahun depan untuk sebutan semula pertuduhan kes tiga lelaki warganegara Peru yang didakwa memperdaya seorang wanita di mesin pengeluaran wang automatik September lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, M.Bakri Abdul Majid menetapkan tarikh itu bagi membolehkan mahkamah melantik penterjemah memandangkan dua daripada tertuduh tidak boleh berbahasa Inggeris dan hanya tahu bahasa Sepanyol.
Ketika pertuduhan dibacakan, hanya seorang daripada tertuduh, Nicanor Edgar Areche Aquipa, 44 yang boleh berbahasa Inggeris faham pertuduhan manakala rakannya, Sosaya Carrasco Jose Wilfredo, 57, dan Henry Fernando Carrascal Carlin, 44, hanya berdiam diri ketika pertuduhan dibacakan.
Ketiga-tiga lelaki itu didakwa secara bersama melakukan tiga capaian tanpa kuasa pada mesin ATM di Maybank Berhad Jerteh, Besut dengan niat untuk mengeluarkan wang sebanyak RM3,500 dari akaun simpanan milik Ma Kalthum Salleh, 38, yang didakwa dilakukan antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari 19 September lalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 itu dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

No comments:

Post a Comment