Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Wanita S'pura tipu peniaga $2.9 juta




SHAH ALAM: Seorang wanita warga Singapura kelmarin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh menipu seorang ahli perniagaan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, sebanyak RM7 juta ($2.9 juta) tahun lalu.
Sharida Abdul Majid, 46 tahun, juga ahli perniagaan, dituduh menipu Tan Sri Abdul Rashid di Peremba Square, Shah Alam, antara September 2009 dengan 13 November 2009 dengan memperdayanya bahawa dia telah memperoleh kontrak bernilai tidak kurang 8 juta dolar Brunei.Sharida menawarkan Tan Sri Abdul Rashid untuk menyertai kontrak itu.Dia didakwa mendorong Tan Sri Abdul Rashid untuk menyerahkan wang berjumlah RM7 juta melalui tiga keping cek Standard & Chartered Bank sebagai bahagian penyertaan beliau dalam kontrak itu.Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.Sharida juga menghadapi pertuduhan menggunakan dua bil tunai syarikat High Motivations Sendirian Bhd bertarikh 28 September 2009, sebagai dokumen cagaran walaupun dia tahu ia palsu.Sharida mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshuhaida Zainal Azhar memohon mahkamah supaya mengenakan ikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin warga Malaysia manakala pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.'OKT (Orang kena tuduh) merupakan warga negara asing, rakyat Singapura... ada kebarangkalian tinggi untuk beliau melarikan diri,' katanya.Peguam, Encik Mohd Azfar Abdullah, yang memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah bekas suami Sharida, kemudian membuat rayuan bagi pihak wanita itu dan meminta supaya mahkamah mengenakan nilai jaminan yang rendah.Katanya, hasil perkongsian hidup dengan Sharida selama 23 tahun mereka dikurniakan empat anak, yang paling kecil berusia lima tahun.'Oleh kerana OKT ibu tunggal, anak-anak memerlukan kehadirannya,' katanya.Encik Mohd Azfar berkata, Sharida telah menetap di Malaysia selama 30 tahun dan beliau sendiri akan memastikan tertuduh hadir di mahkamah.Katanya, dalam perbicaraan nanti, Sharida akan diwakili peguam dari Tetuan Selvamookiah & Co kerana 'beliau tidak sesuai mewakili tertuduh'.Hakim Wan Mohd Norisham kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan memerintahkan supaya pasport Sharida diserahkan kepada mahkamah.Beliau juga menetapkan 7 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. -- Bernama

No comments:

Post a Comment