Search This Blog

Sunday, December 5, 2010

Wanita maut lori bertembung trak tunda





IPOH - Seorang wanita maut selepas lori yang dinaiki bersama suaminya melanggar sebuah trak penunda di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, berhampiran Kampung Kepayang di sini, pagi semalam. 

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab berkata, kejadian yang berlaku jam 6.14 pagi menyebabkan Hayati Mahat, 47, meninggal dunia manakala suaminya, Mohd Sabri Ibrahim, 54, yang memandu lori mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kaki. 

Menurutnya, Mohd Sabri dan pemandu trak penunda, Saiful Asuwa Abdul Hamid, 27, yang turut cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini bagi mendapatkan rawatan. 

“Mangsa yang maut meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepada dan dua lagi yang cedera dihantar ke HRPB. 

“Kemalangan berlaku selepas lori yang membawa muatan sayur dipandu Mohd Sabri dilanggar sebuah trak penunda yang terbabas sebelum bertembung,” katanya. 

Mohd Rodzi berkata, mangsa yang maut dan suami berasal dari Kampung Sungai Itek, Gopeng manakala Saiful Asuwa berasal dari Simpang Pulai, di sini. 

Mayat mangsa yang selesai dibedah siasat di HRPB dituntut oleh ahli keluarga tengah hari semalam.

No comments:

Post a Comment