Search This Blog

Friday, December 17, 2010

Wanita cantik miliki syabu


ISHAK Haji Ahmad (tengah) bersama anggotanya menunjukkan syabu bernilai RM1.4 juta yang dirampas daripada seorang wanita Indonesia di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, semalam.


KUBANG PASU 16 Dis. – Setelah menggunakan golongan pelajar sebagai ‘keldai dadah’, sindiket dadah antarabangsa kini dikesan menggunakan wanita cantik seperti model untuk menyeludup barangan itu.
Ia terbukti apabila seorang wanita berusia 28 tahun dari Indonesia ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setelah cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta, kelmarin.
Suspek ditahan semasa melalui mesin pengimbas di laluan pejalan kaki dan bas di Bukit Kayu Hitam, pukul 3.15 petang.
Pengarah Kastam negeri, Ishak Ahmad berkata, ketika kejadian itu, pihak kastam mengesan imej mencurigakan di dalam beg plastik yang dibawa oleh suspek.
“Sejurus beg plastik tersebut dibuka, pihak kami menemui empat keping lukisan tangan berbingkai kayu di dalam beg berkenaan.
“Pihak kami telah menjalankan pemeriksaan rapi ke atasnya dan setelah mengopak bingkai gambar tersebut, menemui 28 bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu, dianggarkan seberat 5.6 kilogram,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengambil dadah tersebut daripada lelaki warga Afrika di Bangkok, Thailand.
“Dia kemudian menaiki bas dari Bangkok menuju ke Danok sebelum mengambil bas lain ke Johor Bahru,” ujarnya.
Jelas Ishak, dadah-dadah tersebut disyaki syabu bermutu tinggi dan mempunyai permintaan yang menggalakkan di pasaran antarabangsa.
“Dadah tersebut dipercayai akan dibawa oleh suspek ke Jakarta, Indonesia dan ketika ditahan dia kelihatan tenang dan berlagak seolah-olah tiada apa-apa berlaku.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini menggunakan wanita berwajah cantik untuk menjadi keldai dadah mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Pada tahun ini, lima wanita ditahan kerana menyeludup dadah dan rampasan kelmarin, adalah kejayaan terbesar kami tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment